X

Kindly register in order to view this article
!

Penangan ketam raja di warung tepi jalan

Mohd Lokeman (kiri) bersama pelanggannya menunjukkan hidangan ketam raja yang dijual di kedai makannya di Kampung Badang Jalan Pantai Cahaya Bulan.
A
A

KOTA BHARU - Alaskan king crab atau ketam raja selain keenakan rasanya, juga dikenali kerana harganya yang sangat mahal dan hanya boleh dinikmati di hotel atau restoran mewah.

Berlainan pula bagi pengusaha kedai makan, Mohd Lokeman Yusof, 45, yang berani menyajikan menu mewah itu di sebuah warung biasa di tepi jalan di Kampung Badang Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu di sini.

Baginya, golongan marhaen yang berpendapatan sederhana adalah sasaran beliau dalam memperkenalkan menu ketam raja di warungnya.

“Saya mendapatkan bekalan ketam tersebut daripada pembekal pada harga yang mahal tetapi menjualnya dengan keuntungan yang lebih rendah.

“Niat saya adalah mahu berkongsi rasa unik isi raja ketam merah ini dengan pelanggan.

“Sasaran saya adalah penduduk kampung yang biasanya tidak berpeluang mengunjungi hotel-hotel atau restoran mewah.

“Jadi, mereka boleh mencuba ketam raja ini di gerai saya dengan harga yang berpatutan,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Mohd Lokeman yang merupakan anak jati Kelantan dan dilahirkan dalam keluarga nelayan di Kampung Semut Api menyimpan impian mahu membuka perniagaan makanan sejak kecil.

“Saya mahu buka perniagaan makanan dengan menjual menu lokan bersos menggunakan resipi hasil ciptaan saya sendiri.

“Dahulu bapa saya selalu membawa pulang pelbagai jenis makanan laut termasuklah yang berasaskan cangkerang seperti lokan.

“Ketika itu saya membayangkan saya buka kedai makan dan kini cita-cita tersebut menjadi nyata,” katanya.

Menu ketam raja yang dinikmati bersama sos pencicah istimewa yang dijual pada harga yang berpatutan menjadi tarikan kepada pelanggan.
Menu ketam raja yang dinikmati bersama sos pencicah istimewa yang dijual pada harga yang berpatutan menjadi tarikan kepada pelanggan.

Mohd Lokeman berkata, kini dia bukan sahaja menjual lokan bersos, malah perniagaan-nya juga berkembang kepada menu alaskan king crab bersos yang diperkenalkan pada Jun lalu.

Menurut beliau yang menceburi dunia perniagaan maka-nan sejak tahun 2006 berkata, perniagaannya itu dibantu oleh Siti Khatijah Awang, 46, dan lima orang anak berusia 13 hingga 24 tahun.

“Kedai makan saya beroperasi pada setiap hari bermula jam 3 petang sehingga 12 tengah malam,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Lokeman berkata, beliau yakin prospek perniagaan yang di-usahakannya itu mempunyai potensi yang amat cerah.

“Saya yakin kerana keunikan rasa ketam raja itu sendiri yang disokong dengan kesedapan sos pencecah ciptaan saya sendiri tidak dapat diperoleh di tempat lain.

“Saya menetapkan sekurang-kurangnya dapat menjual lima ekor alaskan king crab setiap hari dan dapat membuka cawangan di kawasan-kawasan kampung yang lain pula dalam tempoh lima tahun akan datang,” kata beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!