'Inilah rasa orang gelandangan' - Alif Satar insaf tidur tepi jalan

Pengalaman menunaikan haji menginsafkan Alif.
Pengalaman menunaikan haji menginsafkan Alif.
A
A
A

BERPELUANG menunaikan rukun Islam kelima tahun ini memberi 1001 kenangan manis buat penyanyi dan pengacara, Alif Satar.

Biarpun tidak mandi dua hari dan tidur di tepi jalan, selebriti berusia 32 tahun itu dapat menyelami perasaan seorang gelandangan yang tidak mempunyai apa-apa.

"Dekat sini, tak kiralah bayar pakej ratus ribu ke, anda seorang individu penting, artis yang orang sanjung, hatta Mufti sekali pun, semua orang (akan merasai) tidur tepi jalan.

"Bila saya fikir, rupanya macam inilah yang dirasai orang gelandangan. Tiada tempat mandi, kemudian tengah malam korek tanah cari batu (untuk persediaan melontar).

"Saya pasti, siapa datang buat haji, Insya-ALLAH rasa sombong, takabbur mesti hilang," ujarnya.

Alif menunaikan ibadah haji bersama isteri tercinta.
Alif menunaikan ibadah haji bersama isteri tercinta.

Alif berkongsi momen itu menerusi sebuah hantaran di akaun Instagram miliknya pada Sabtu.

Tambah Alif, biarpun keadaan kurang selesa dan penat, dia masih bersyukur diberi nikmat tidur lena ketika bermabit di Muzdalifah.

"Mengikut manasik haji Rasulullah SAW, kami semua jamak takhir Maghrib Isyak dan bermabit sampai solat Subuh di Muzdalifah.

"Wallahi, walaupun masa ini dah dua malam tidak mandi, pergi tandas, badan penat ditambah pula kekecohan bunyi dan asap, dengan berlapikkan sleeping bag, beratapkan langit, bintang, ALLAH beri nikmat, dapat saya tidur lena.

"Semoga semua yang membaca hantaran ini diterima amalan dan ditempatkan di kalangan para salihin," kongsinya.

Alif mengerjakan ibadah haji bersama isteri tercinta, Shadila Halid dan berlepas ke sana pada 21 Jun lalu.