Jangan langgar pantang ‘edah monsun’

No Image Caption
A
A
A

KETIKA ini negara sudah memasuki Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang telah bermula sejak awal November lalu dan dijangka berakhir pada Mac 2021.

Bagi kebanyakan negeri yang terlibat termasuk Terengganu, bencana seperti banjir sudah sinonim pada musim ini menyebabkan penduduknya sentiasa bersedia untuk berpindah atau menyediakan kelengkapan seperti baju hujan dan bot.

Musim tengkujuh juga boleh dikatakan pesta ikan darat kerana ramai penduduk mengambil peluang menangkap ikan darat yang mudah didapati, selain menikmati aneka jenis ubi yang banyak dijual sepanjang jalan dan di pasar-pasar.

Bagi golongan nelayan pula, musim tengkujuh adalah musim yang suram kerana sukar untuk ke laut mencari rezeki disebabkan ombak besar dan laut bergelora.

Pada ketika inilah mereka menghabiskan masa dengan membaiki jala dan bot atau mencari kerja sampingan bagi menampung hidup pada musim tengkujuh.

Bagi golongan nelayan dan penduduk di pesisir pantai khususnya, laut bukanlah ‘mainan’ pada ketika ini. Jadi, mereka tidak mahu mengambil risiko turun ke laut.

Tempoh ini juga dipanggil ‘edah monsun’. Pantai merupakan kawasan larangan kerana ombak kuat dan laut bergelora yang sukar di-duga menyebabkan sebarang aktiviti di laut atau mandi-manda tidak digalakkan.

Bagaimanapun, tidak dinafikan masih ada yang berdegil dengan pantang larang itu menyebabkan tragedi lemas pada musim tengkujuh sentiasa berlaku saban tahun.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, seramai 16 orang lemas ketika musim tengkujuh pada tahun 2018 dan tahun lalu, seramai 12 orang direkodkan meninggal dunia akibat lemas.

Pasukan khas

Bagi mengelak tragedi sama berulang, JBPM telah mengambil inisiatif melantik seramai 12 individu daripada kalangan keluarga nelayan menjadi Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Safety Waters and Rescue Team (SWART), sekali gus menjadi anggota perintis pasukan itu di Terengganu.

Menurutnya, antara fungsi pasukan khas tersebut adalah sebagai barisan hadapan khususnya dalam mengurangkan kes mangsa lemas di kawasan berisiko terutama pada musim tengkujuh.

“Antara kepakaran yang dimiliki anggota PBB SWART adalah menyelamat di air sekali gus dapat membantu pihak bomba untuk bertindak lebih awal menyelamatkan mangsa lemas di lokasi berisiko.

“Setakat ini, enam PBB SWART ditempatkan di pantai sekitar Kuala Nerus, manakala baki enam lagi di Dungun dan antara tugas utama mereka adalah membuat rondaan dan pemantauan berterusan sepanjang musim tengkujuh,” katanya.

Bencana banjir di Terengganu telah memasuki tiga episod bermula pada 18 November lalu, disusuli pada 23 November dan gelombang ketiga pada 2 Disember sehingga 9 Disember.

Sepanjang tempoh itu, semua pihak terutama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu dan pihak berwajib bertungkus-lumus memastikan pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara berjalan lancar dan kebajikan mereka dijaga.

Pengamal media yang turut serta membuat liputan menjadi saksi bagaimana mereka dengan penuh tanggungjawab sentiasa bersedia memastikan keselamatan semua mangsa, malah ada yang sanggup mengendong warga emas yang tidak berdaya mengharungi banjir.

Kami melihat sendiri bagaimana pihak berkuasa terpaksa berdepan dengan penduduk yang enggan berpindah walaupun air semakin naik dengan alasan remeh seperti menunggu ahli keluarga lain mengambil mereka dan sudah biasa dengan keadaan itu.

Malah, ada keluarga yang terpaksa dipujuk beberapa kali, namun ‘tidak lut’ dengan nasihat dan pujukan.

Dimanakah rasa tanggungjawab kita? Adakah masih ingin menunggu saat-saat akhir tatkala keadaan sudah menjadi sangat teruk sehingga kerja-kerja menyelamat dan memindahkan mangsa sukar dilakukan?

* Farah Shazwani Ali ialah wartawan Sinar Harian Edisi Terengganu