X

Kindly register in order to view this article
!

Ku Li yakin mampu tarik ahli parlimen BN tolak Belanjawan 2021 esok

Dr Mahathir (kiri) dan Tengku Razaleigh ketika mengadakan sidang media penting hari ini. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah atau Ku Li yakin beliau mampu menarik sokongan ahli parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam undian Belanjawan 2021 yang dibentangkan untuk bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat esok.

"Jawapannya mungkin dapatkan sokongan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN)," katanya pada sidang akhbar bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Al Bukhary di sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita sama ada beliau masih mempunyai magis untuk membuat demikian atau sebaliknya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, beliau tidak ada masalah bekerjasama dengan Dr Mahathir dan pembangkang di Parlimen memandangkan kerajaan yang mentadbir kini tidak mempunyai keabsahan.

"Saya bekerjasama dengan Dr Mahathir bagi memastikan bahawa kita mempunyai kerajaan yang sah kerana kerajaan dan Perdana Menteri yang kita miliki hari ini adalah tidak sah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan berisiko tumbang esok: Dr Mahathir

Sementara itu, Dr Mahathir yang juga pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak menolak kemungkinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan turut serta dalam penolakan belanjawan esok, bagaimanapun bersyarat.

"Mereka boleh sokong. Tapi kalau kerajaan baharu dibentuk, mereka tak boleh sertai memandangkan ada kes mahkamah," katanya.

Dr Mahathir dan Ku Li pada sidang akhbar itu membayangkan kerajaan PN bakal hilang majoriti hasil undian Belanjawan 2021 yang dibentangkan untuk bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat esok.

Kedua-dua mereka juga buat pertama kalinya secara terbuka menyatakan kesepakatan untuk berkerjasama bagi membantu menerajui kerajaan baharu yang akan ditubuhkan nanti.

Menurut mereka, kesepakatan itu demi memulihkan semula keadaan negara yang kini disifatkan sudah lari dari landasan sebenar akibat sikap mementingkan diri majoriti pemimpin politik.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!