Rasuah: Pegawai Imigresen didenda RM30,000

Muhammad Shafiq dibawa ke Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan dua tahun lalu.
Muhammad Shafiq dibawa ke Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan dua tahun lalu.
A
A
A

MELAKA - Seorang pegawai Jabatan Imigresen didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan bagi mendapatkan cop perakuan keluar masuk pasport warga asing pada dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Shafiq Suboh, 29, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang merupakan pegawai Imigresen Gred KP19 dan bertugas di Jabatan Imigresen Malaysia di Bangunan Sultan Iskandar, Johor didapati menerima suapan daripada seorang individu sebanyak RM360 sebagai dorongan bagi mendapatkan perakuan cop keluar masuk pasport warga asing tanpa perlu keluar dari negara.

Berdasarkan pertuduhan pilihan kedua dan ketiga, tertuduh turut didapati melakukan kesalahan sama melibatkan suapan masing-masing bernilai RM320 dan RM800.

Kesemua kesalahan itu dilakukan menerusi akaun CIMB Bank Berhad di Taman Mutiara Melaka, Batu Berendam di sini membabitkan tiga transaksi berasingan pada Julai hingga September 2018.

Tertuduh yang berkahwin pada Mac lalu dan bakal menerima cahaya mata pertama didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih daripada 10 tahun, denda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya.

Muhammad Shafiq yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama dilakukannya selain perlu menanggung tiga orang adiknya memandangkan ibunya seorang ibu tunggal dan isterinya yang sedang mengandung juga memerlukan sokongannya.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwanshah Abdul Samat memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh 'menggadaikan' keselamatan negara.

Lebih-lebih lagi, katanya, tertuduh merupakan individu penting yang bertugas mengawal pintu masuk negara dan kes berkenaan turut mendapat perhatian masyarakat.

Mohd Nasir kemudian menetapkan hukuman denda sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan pilihan atau enam bulan penjara sekiranya gagal melunaskan denda tersebut bagi setiap pertuduhan pilihan.

Tertuduh merupakan antara lapan pegawai Jabatan Imigresen yang ditahan SPRM menerusi Ops Selat pada bulan lalu.