Sultan Perak perkenan terima menghadap Presiden Pas

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah - Foto Bernama
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah berkenan menerima menghadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Istana Kinta di sini esok.

Ahli Dewan Negara negeri Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini yang mengesahkan hal itu kepada Bernama melalui WhatsApp berkata, Abdul Hadi dititah menghadap Sultan Nazrin pada jam 11 pagi, esok (15 Disember).

Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang pada 10 Disember lepas telah mengutus warkah kepada Sultan Nazrin memohon untuk menghadap baginda bagi menyembah maklum suasana politik yang melibatkan Pas.

Jumaat lepas, Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria menzahirkan permohonan ampun kepada Sultan Nazrin atas kekhilafan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu kerana tidak menghadap baginda sepertimana dititahkan pada 8 Disember lepas.

Selain Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol, dua lagi wakil rakyat Pas Perak terlibat ialah Mohd Akmal Kamarudin (Selama) dan Mohd Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini, Razman dan Mohd Akmal dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Bagaimanapun, ketika istiadat angkat sumpah jawatan Exco di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pada 10 Disember lepas, tiada ADUN daripada Pas dalam senarai awal yang dilantik sebagai Exco, sebaliknya hanya melibatkan empat ADUN UMNO dan seorang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). - Bernama

Artikel Berkaitan: