3,875 kes dera kanak-kanak sehingga September tahun ini

Siti Zailah ketika menjawab pertanyaan Sabri Azit (Pas-Jerai) di Dewan Rakyat hari ini.
Siti Zailah ketika menjawab pertanyaan Sabri Azit (Pas-Jerai) di Dewan Rakyat hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 3,875 kes penderaan, penganiayaan dan pengabaian ke atas kanak-kanak direkodkan di negara ini sehingga September tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, jumlah itu menunjukkan trend menurun berbanding tahun 2019 berjumlah 6,061 sementara jumlah kes pada tahun 2018 sebanyak 5,578 kes.

Siti Zailah berkata, jumlah itu melibatkan empat jenis kategori penderaan iaitu fizikal, seksual, emosi dan pengabaian.

"Pada tahun 2018 sebanyak 5,578, 2019 berjumlah 6,061, dan bagi tahun 2020 sehingga September 2020 berjumlah 3,865 kes,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Sabri Azit (Pas-Jerai) yang meminta KPWKM menyatakan statistik penderaan kanak- kanak dan langkah-langkah yang diambil bagi mengelakkan kes itu.

Siti Zailah menjelaskan, kes penderaan melibatkan fizikal pada tahun 2018 berjumlah 1,703 manakala 1,571 kes pada 2019,

dan untuk tahun ini sebanyak 1,1,20 kes direkodkan sehingga September.

Katanya, penderaan seksual 2018 mencatatkan jumlah 1,705, pada tahun 2019 berjumlah 1,865 dan hingga September 2020 berjumlah 1,373.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, bagi kes penderaan emosi pada tahun 2018 kes dicatat ialah 124 kes, tahun 2019 (113) dan sehingga September 2020 (131) manakala kes pengabaian pada tahun 2018 berjumlah 2,046 kes, 2019 (2,521) dan 2020 sehingga September (1,251) kes.

Tambah beliau, antara, punca penderaan ialah keluarga mengalami masalah kewangan, ibu bapa terlibat kes dadah dan mengalami masalah mental.

Justeru katanya, tanggungjawab melindungi kanak-kanak bukan hanya tanggungjawab pelindung namun melibatkan pelbagai pihak seperti polis, hospital, mahkamah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa, penjaga, kanak-kanak dan komuniti setempat.

“Kerjasama pelbagai pihak merupakan teras utama dalam penyampaian perkhidmatan berkesan.

“Antara program dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seperti berikut antaranya mewujudkan sistem semak pesalah jenayah seksual dalam daftar kanak-kanak, menyediakan senarai semak, pandu bagi pemilihan pengasuh, mengadakan Program Pendidikan Keselamatan Keluarga (Peka),” katanya.