X

Kindly register in order to view this article
!

Perogol paling bahaya di Korea Selatan dibebaskan

Cho Doo-soon yang memakai topi telah disabitkan merogol kanak-kanak. - Agensi
A
A

SEOUL - Penunjuk perasaan membaling telur dan menjerit kepada seorang perogol paling merbahaya di Korea Selatan yang dibebaskan dari penjara di selatan Seoul kelmarin selepas dia menjalani hukuman penjara selama 12 tahun di situ.

Cho Doo-soon, 69, digari dengan gelang elektronik di kakinya sambil ditemani polis menuju ke rumahnya terletak berhampiran Ansan, di mana pihak berkuasa menambah kamera keselamatan dan berjanji untuk mengawal ketat lelaki itu di kediamannya meskipun jirannya bimbang mengenai risiko terhadap masyarakat setempat.

Cho disabitkan kesalahan menculik dan merogol kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di sebuah bilik air di gereja di Ansan pada 2008, disifatkan serangan tidak berperikemanusiaan hingga mengakibatkan kecacatan kekal kepada mangsa.

Kes itu menggemparkan Korea Selatan hingga menimbulkan simpati orang ramai sehinggakan kisahnya dijadikan sebuah filem 2018 yang bertajuk 'Hope'.

Sejak 2017, kira-kira sejuta orang menandatangani petisyen dalam talian supaya presiden menghalang Cho dibebaskan.

Puluhan penunjuk perasaan memegang sepanduk dibaca ' Cho Doo-soon pergi ke neraka' dan menjerit supaya dia dimandulkan semasa mereka berkumpul di luar penjara pada awal pagi Sabtu lalu walaupun dikawal rapi oleh polis.

Mereka turut membaling telur dan objek lain ke arah van yang membawa Cho sambil diiringi pegawai polis yang keluar dari penjara pada jam 6.45 pagi.

Keluarga mangsa memberitahu media tempatan bulan lalu bahawa mereka merancang untuk berpindah jauh selepas kepulangan Cho di Ansan.

Bapa kanak-kanak malang itu memberitahu saluran TV JTBC bahawa anaknya 'menangis teresak-esak' selepas diberitahu mengenai kepulangan perogol terbabit. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!