Puspakom JB ditutup, petugas positif Covid-19

Pejabat Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn Bhd (Puspakom) Johor Bahru di sini ditutup sementara bermula hari ini selepas seorang petugasnya disahkan positif Covid-19. Gambar hiasan
Pejabat Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn Bhd (Puspakom) Johor Bahru di sini ditutup sementara bermula hari ini selepas seorang petugasnya disahkan positif Covid-19. Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pejabat Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn Bhd (Puspakom) Johor Bahru di sini ditutup sementara bermula hari ini selepas seorang petugasnya disahkan positif Covid-19.

Puspakom dalam satu kenyataan memaklumkan petugas itu sedang menjalani rawatan lanjut dan dikuarantin di sebuah hospital kerajaan.

"Proses mengesan kontak rapat pesakit telah dilakukan, manakala semua petugas lain di cawangan itu juga akan menjalani ujian saringan.

"Individu yang dikenal pasti mempunyai hubungan secara langsung dengan pesakit juga telah diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari," kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, penutupan operasi cawangan itu turut melibatkan Perkhidmatan Van dan Trak Bergerak (MVS & MTS) bagi membolehkan proses sanitasi dan pembersihan dilaksanakan secara menyeluruh.

Susulan penutupan itu, pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan secara bersemuka di cawangan Puspakom lain di negeri ini sebagai langkah alternatif.

Bagi pelanggan yang mempunyai temu janji di Puspakom Johor Bahru, semua bayaran temu janji pemeriksaan yang sudah dibuat akan dipulangkan secara automatik.

Sementara untuk temu janji Perkhidmatan MVS & MTS pula, penjadualan semula akan dibuat dan dimaklumkan kepada pelanggan melalui panggilan telefon.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan kenderaan persendirian boleh dilakukan di Puspakom Senai dan Puspakom Taman Daya, manakala bagi kenderaan ringan boleh dibuat di Puspakom Senai dan Kluang.

"Bagi pemeriksaan kenderaan berat boleh dibuat di Puspakom Pasir Gudang dan Puspakom Kluang," tambah kenyataan itu lagi.

Pihaknya akan mendapatkan nasihat Jabatan Pengangkutan Jalan berkaitan kelonggaran pembaharuan permit untuk kenderaan yang tamat tarikh pemeriksaan dalam tempoh operasi ditutup.

Puspakom akan sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menghadapi situasi seperti itu dan sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan kepada pelanggan dari masa ke masa.