Dua lagi lembu dibaham pak belang

Laporan Sinar Harian mengenai serangan harimau pada 8 Disember lalu.
Laporan Sinar Harian mengenai serangan harimau pada 8 Disember lalu.
A
A
A

DUNGUN – Dua ekor lembu milik penternak di Felda Kerteh 4, di sini menjadi korban dalam serangan terbaharu harimau belang.

Lembu tersebut ditemui mati oleh pemiliknya petang Jumaat lalu ketika mahu membawanya ke kandang dengan sebahagian anggota hilang dipercayai dimakan harimau manakala seekor lagi hilang diheret pak belang.

Seorang penternak, Zulkifli Embong, 52, berkata, beliau buntu kerana perangkap sudah dipasang dan rondaan dibuat namun harimau berkenaan masih menyerang haiwan ternakan penduduk.

“Tidak tahu bila lembu ini dibunuh, pemiliknya datang beritahu lembunya mati dibaham harimau petang Jumaat lalu.

“Harimau ini susah nak cakap, perangkap dipasang dia tak masuk dan kita meronda tempat lain dia (harimau) pergi serang lembu di tempat lain pula,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Perangkap yang dipasang oleh Perhilitan Terengganu.
Perangkap yang dipasang oleh Perhilitan Terengganu.

Menurut Zulkifli, lembu miliknya sudah empat ekor mati dibaham harimau pada tahun ini dan kini berbaki 20 ekor.

Beliau kini bimbang keselamatan haiwan ternakannya apatah lagi seekor lembunya baru melahirkan anak dua hari lalu.

Artikel Berkaitan:

“Lembu baru beranak ini pula tidak mahu masuk ke kandang. Risau juga jika diserang harimau dan saya akan pergi meronda melihat keadaannya,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 30 penternak lembu di Felda Kerteh 4, di sini tidak dapat tidur lena apabila kira-kira 20 ekor haiwan ternakan mereka dibaham harimau sepanjang tahun ini melibatkan kerugian dianggarkan lebih RM50,000.

Ancaman haiwan karnivor berkenaan kemudian dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sebelum pasukan itu memasang perangkap dua minggu lalu.

Perhilitan memasang perangkap kedua minggu lalu bagi menangkap haiwan liar berkenaan selain meneruskan rondaan bagi menjamin keselamatan penduduk di sana.

ARTIKEL BERKAITAN: 20 ekor lembu dibaham harimau

Serangan pak belang: Perhilitan pasang satu lagi perangkap