Anggota polis cedera dibaling pinggan kaca

Salah seorang anggota polis yang cedera pada siku akibat terkena pinggan yang dibaling lelaki berkenaan dalam kejadian di Damansara Damai, Petaling Jaya hari ini.
Salah seorang anggota polis yang cedera pada siku akibat terkena pinggan yang dibaling lelaki berkenaan dalam kejadian di Damansara Damai, Petaling Jaya hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Dua anggota polis cedera akibat diserang seorang lelaki yang mengamuk di sebuah rumah di Damansara Damai di sini awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, dua anggota dari Balai Polis Sri Damansara itu pergi ke lokasi berkenaan selepas menerima aduan berhubung seorang lelaki yang didakwa mengamuk.

"Setibanya di lokasi, anggota polis berkenaan cuba memanggil lelaki berkenaan yang merupakan penghuni rumah tersebut.

"Namun lelaki warga tempatan itu bertindak membaling pinggan kaca ke arah anggota polis sehingga mengakibatkan salah seorang daripada anggota polis mengalami luka pada sikunya," katanya melalui kenyataan di sini hari ini.

Nik Ezanee berkata, lelaki berusia 48 tahun yang turut memegang sebilah pisau pemotong daging dan tukul besi cuba menyerang anggota polis.

Katanya, berlaku pergelutan ketika tangkapan dilakukan kerana lelaki itu bertindak agresif menyebabkan seorang lagi anggota polis mengalami lebam pada badannya.

"Suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat yang berbaur penghinaan terhadap penugasan polis," katanya.

"Bagaimanapun, anggota polis berjaya menahannya dan merampas pisau serta tukul besi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nik Ezanee berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lima kes jenayah dan dadah.

"Suspek direman empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua anggota polis yang cedera kemudian menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini.