[DIKEMASKINI] Ajaran 'Asmaul Husna Wan Maseri' dirujuk Muzakarah MKI

Ahmad Marzuk Shaary
Ahmad Marzuk Shaary
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Ajaran 'Asmaul Husna Wan Maseri' yang diasaskan bekas ahli jawatankuasa Muslimat Pas Kuantan, Profesor Dr Wan Maseri Wan Ahmad akan dirujuk kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (Muzakarah MKI).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, perkara tersebut amat penting memandangkan ajaran itu didakwa terlibat dalam penyelewengan agama Islam dan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Sebagaimana yang kita tahu, kerajaan negeri ada kuasa untuk keluarkan fatwa sesuatu ajaran itu sama ada sesat ataupun tidak.

“Setakat ini ajaran itu didakwa timbul di Pahang dan fatwa mengenainya sudah dikeluarkan sebagai menyeleweng daripada Ahli Sunnah. Ada beberapa negeri sudah mengambil tindakan sama termasuk Wilayah Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir pada majlis penyampaian sumbangan Musaadah Covid-19 Peringkat Parlimen Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan bahawa ajaran tersebut sudah difatwakan sebagai sesat di beberapa negeri termasuk Terengganu dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa meminta seluruh rakyat Malaysia supaya sentiasa berwaspada dengan sebarang ajaran yang tidak diketahui kesahihannya.

Beliau bagaimanapun berkata, mengikut rekod sehingga kini tiada sebarang ajaran yang tidak jelas wujud kecuali hanya melibatkan kesilapan dalam beberapa perkara tertentu.

Artikel Berkaitan: