Liga Hoki Malaysia 2021 bakal berlangsung tanpa penonton

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berucap pada sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berucap pada sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KEJOHANAN Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 akan dijalankan secara berpusat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dan dilangsungkan tanpa kehadiran penonton.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Anil Jeet Singh berkata, keputusan itu dibuat ekoran kebimbangan terhadap penularan wabak Covid-19 yang masih belum reda.

“Kami juga tidak merancang untuk membawa masuk penonton bagi menyaksikan saingan liga di stadium kerana khuatir akan berlakunya sebarang masalah melibatkan pematuhan prosedur operasi standar (SOP).

"Bukan mudah untuk memastikan setiap penonton mengikuti SOP yang ditetapkan dengan sebaiknya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kejohanan yang akan membuka tirai pada 14 Januari hingga 20 Februari depan itu menjadi perlawanan sulung dianjurkan mengikut kalendar kejohanan KHM bagi musim 2021.

Kategori lelaki akan bermula pada 14 Januari hingga 20 Februari depan bakal menampilkan Sabah selaku muka baharu selain tujuh pasukan musim lalu iaitu Terengganu Hockey Team (THT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, Maybank, Universiti Teknologi MARA (UITM) dan Nurinsafi HT.

Sementara kategori wanita yang akan bermula pada 20 Jan hingga 20 Feb pula akan disertai oleh empat pasukan musim lepas iaitu PKS Uniten–KPT, PDRM Blue Warriors, Mutiara Impian-MSSPP-PSHA dan Sabah selain dua pasukan baharu, Young Tigress dan UniKL Ladies yang membuat penampilan sulung, bagi musim 2021.

Berbeza dengan penganjuran tahun sebelumnya, musim 2021 akan memperkenalkan format perlawanan yang baharu dengan ia dijalankan secara saingan liga satu pusingan dengan pasukan yang berada di tangga teratas liga akan muncul selaku juara liga.

Artikel Berkaitan:

Empat pasukan yang berada pada kedudukan teratas liga pula akan meneruskan pemburuan Piala TNB 2021 bagi kategori lelaki dan Piala Vivian May Soars bagi kategori wanita dengan aksi separuh akhir akan dijalankan secara timbal balik bagi menentukan pasukan yang melangkah ke pentas final.

“Melihat kepada situasi pandemik Covid-19 ketika ini, kami memutuskan untuk mengubah format kejohanan pada musim 2021, kepada liga satu pusingan dan secara berpusat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil kerana ingin memastikan semua SOP dapat diikuti dengan sebaiknya selain memudahkan urusan pemantauan dijalankan,” katanya. - Bernama