Konsep wala' dalam Amanah tidak ekstrem

Mohamed Hanipa Maidin selaku panelis pada Program Sinar Live yang membincangkan topik Berapa Skala Politik Amanah yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian.
Mohamed Hanipa Maidin selaku panelis pada Program Sinar Live yang membincangkan topik Berapa Skala Politik Amanah yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) mengambil sikap terbuka sekiranya ada mana-mana ahlinya waima daripada kepimpinan tertinggi mahu 'angkat kaki' daripada parti itu.

Ahli Jawatankuasa Nasional Amanah, Mohamed Hanipa Maidin berkata, tindakan ahli politik keluar parti adalah perkara biasa dan ia juga lambang kebebasan berpersatuan.

Menurutnya, meskipun Amanah menerapkan konsep wala' (kecintaan dan kesetiaan), ia tidak sepatutnya dilihat dalam konteks yang terlalu ekstrem.

"Kita tidak boleh halang mana-mana orang untuk keluar parti. Bagi saya orang keluar parti adalah fenomena biasa dalam politik. Ini bukan hanya berlaku dalam Amanah tapi juga parti lain.

"Walaupun jika presiden kami keluar parti pun tiada masalah sebab kita bukan parti yang kata mesti duduk sampai bila-bila," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Program Sinar Live yang membincangkan topik Berapa Skala Politik Amanah di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini semalam dan disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian.

Mohamed Hanipa mengulas mengenai isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar yang telah keluar daripada parti tersebut bagi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selain itu, turut disentuh mengenai Datuk Husam Musa yang meletakkan jawatan selaku Naib Presiden parti itu pada September lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Sepang itu berkata, Amanah mengambil sikap positif dengan meraikan sebarang tindakan Husam untuk tidak lagi aktif dalam parti.

"Ini perkara biasa, kalau keluar parti pun kami tidak kisah, apatah lagi jika tidak keluar (masih ahli Amanah).

"Namun saya tidak rasa beliau akan keluar parti. Cuma bila letak jawatan dan beliau sebarang orang berpengaruh, orang mungkin fikir Amanah ada masalah. (Sedangkan) beliau mahu beri tumpuan lain jadi kami raikan," katanya.

Namun katanya, Amanah tetap akan bergerak ke hadapan menggunakan kelebihan parti itu yang diterajui ramai pemimpin senior dalam politik.