SPA terima 1.145 juta permohonan termasuk di jabatan teknikal

Tan Sri Mohd Zuki Ali
Tan Sri Mohd Zuki Ali
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menerima 1.145 juta permohonan bagi mengisi perjawatan di sektor awam termasuk di jabatan teknikal sehingga Jun tahun ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 44,229 permohonan diterima dalam bidang kejuruteraan bagi mengisi kekosongan jawatan di jabatan teknikal seperti Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

"Jawatan saintis dan penyelidik masing-masing menerima 50,152 dan 65,719 permohonan manakala 124,015 permohonan bagi pegawai pembangunan komuniti," katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Hari Profesion Teknikal Negara 2020 yang disiarkan secara maya hari ini.

Mohd Zuki berkata, 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan yang akan diwujudkan di negara ini dijangka memerlukan kelayakan bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).

Menurutnya, sejumlah RM1 bilion yang diperuntukkan kerajaan menerusi Belanjawan 2021 adalah bertujuan meningkatkan program kemahiran dan latihan semula.

"Ini kerana, kerajaan menyasarkan peningkatan produktiviti buruh dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi," katanya.

Menurut Mohd Zuki, Statistik Guna Tenaga, Suku Ketiga 2020, Jabatan Perangkaan Malaysia mengunjurkan terdapat 179,000 kekosongan jawatan di sektor swasta.

Kira-kira 55.7 peratus daripada kekosongan jawatan tersebut merupakan kategori jawatan separuh mahir manakala jawatan mahir adalah sebanyak 22.7 peratus, katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: