Jana pendapatan dengan sampah

Dari kiri: Haslina, Sze Han dan Ramli pada Program Sinar Live yang membincangkan topik Sampah: Sampai Bila Nak Tengok Macam ‘Sampah’ di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam malam kelmarin. FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dari kiri: Haslina, Sze Han dan Ramli pada Program Sinar Live yang membincangkan topik Sampah: Sampai Bila Nak Tengok Macam ‘Sampah’ di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam malam kelmarin. FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Anak syarikat kerajaan negeri Selangor, KDEB Waste Management (KDEBWM) meminta masyarakat agar mengubah mentaliti dengan melihat sampah adalah sesuatu yang berharga kerana boleh menjana pendapatan tambahan kepada rakyat dan kerajaan.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, seiring dengan zaman Revolusi Industri (IR) 4.0 ketika ini, rakyat dan negara seharusnya perlu mengubah pemahaman tentang pengurusan sampah ke tahap baharu seperti negara maju.

Katanya, sebagaimana slogan KDEBWM iaitu Together We Keep Selangor Clean: Waste Is Not Dirty, Waste Is Money, rakyat yang melihat sampah sebagai sesuatu yang bernilai akan merebut peluang menjana pendapatan daripadanya.

Ramli - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ramli - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Bila kita tengok sampah itu berharga dan boleh jadi wang, kita akan amalkan kitar semula contohnya plastik boleh hasilkan produk bio apabila ia diproses semula.

“Dengan berkembangnya teknologi tinggi (pengurusan sampah) yang ada di seluruh dunia, kita boleh bina loji tenaga dari sampah. Cuba bayangkan dengan menggunakan teknologi moden seperti di Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat, sampah domestik boleh dibakar menghasilkan tenaga dan tenaga itu boleh disalurkan ke negeri serta dijual sebagai pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Program Sinar Live yang membincangkan topik Sampah: Sampai Bila Nak Tengok Macam ‘Sampah’ bersama Exco Kerajaan Tempatan Selangor, Ng Sze Han di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini malam kelmarin dan disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian.

Program itu turut menampilkan seorang lagi panelis iaitu Exco Kerajaan Tempatan Selangor, Ng Sze Han dan moderator, Haslina AR Kamaludin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ramli berkata, penduduk terutama di Selangor perlu melihat pengurusan sampah adalah satu peluang industri terutama ketika era pandemik Covid-19 yang boleh membantu menjana pendapatan baharu kepada mereka.

“Misalnya kalau kita mulakan secara agresif dalam kalangan 1.2 juta pembayar cukai atau 6.5 juta penduduk Selangor yang mengamalkan kitar semula dan menggunakan barangan terpakai maka setiap botol air mineral, surat khabar dan sisa lain boleh dikumpulkan dan dijual kepada pusat kitar semula dan beri mereka sedikit pulangan.

“Jangan terkejut kerana ketika ini ada individu yang boleh hasilkan pendapatan sebanyak RM100 hingga RM200 sehari hasil jual barangan kitar semula ini. Ada yang bawa motosikal roda tiga pergi dari rumah ke rumah, buka kebuk sampah dan ambil plastik. Pergi ke kedai, ambil kertas dan mereka jual semula,” katanya.

Ramli menjelaskan, langkah mengitar semula dan memproses sampah itu adalah inisiatif yang sangat bagus daripada sampah itu hanya dilupuskan menggunakan kaedah tradisi iaitu membuangnya di tapak pelupusan sampah.

Menurut beliau, dalam kuantiti yang banyak sampah itu akan menghasilkan pendapatan tambahan bukan sahaja kepada pihak kerajaan negeri tetapi ia juga mengurangkan kos untuk kerajaan menyediakan tanah baharu untuk tapak pelupusan dan pengurusan tapak tersebut.

“Jadi ini adalah satu inisiatif yang sangat bagus kerana kita hanya perlu teroka teknologi, bina fasiliti pemulihan bahan, menggunapakai teknologi sisa menjadi tenaga dan sebagainya.

“Kita perlu bergerak ke arah itu supaya kita tidak lagi macam 20 atau 30 tahun lalu iaitu untuk lupuskan sampah, kita buat pembakaran terbuka dan kalau di kampung, kita korek lubang dan tanam sampah itu.

“Sekarang kita sudah berada pada tahun 2020, kita kena ikut negara maju bagaimana mereka uruskan pelupusan sampah dengan lebih sistematik dan efisyen,” katanya.

Bagaimanapun, Ramli berkata, dalam menguruskan sampah industri, komersial dan institusi membabitkan syarikat perusahaan kecil dan sederhana perlu ada perubahan dalam pengurusan sampah secara maksimum dan secara makro seterusnya juga boleh menjana pendapatan tambahan baharu khususnya kepada kerajaan negeri.

KDEBWM dilantik berdasarkan prestasi cemerlang

KDEBWM dicadangkan dilantik sebagai syarikat pengurusan sampah tunggal di Selangor berdasarkan prestasinya yang cemerlang dalam menguruskan sampah melibatkan semua sektor setakat ini.

Sze Han berkata, sudah tiba masanya Selangor mengambil keputusan itu sekarang bagi menyelesaikan masalah pembuangan sampah haram melibatkan sektor industri, komersial dan institusi.

“Sebelum ini pengusaha kilang atau industri melantik kontraktor tetapi tidak diambil tahu di manakah sampah itu dibuang, jadi ini mendatangkan banyak masalah kepada Selangor.

“Sekiranya kita boleh melantik sebuah syarikat yang prestasinya dalam pengurusan sampah adalah terbaik iaitu KDEBWM jadi kita dapat memantau dengan baik tugas yang mereka jalankan,” katanya.

Sze Han - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Sze Han - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

Sze Han berkata demikian selaku panelis pada Program Sinar Live yang membincangkan topik Sampah: Sampai Bila Nak Tengok Macam ‘Sampah’ di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini malam kelmarin dan disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian.

Beliau berkata, pelantikan itu perlu dilakukan secepat mungkin agar hanya sebuah syarikat diberi tanggungjawab dalam pengurusan sampah namun kajian mengenai perkara itu perlu dilakukan dengan lebih teliti.

Menurutnya, isu pembuangan sampah haram oleh pemain industri timbul kerana sampah sisa industri atau institusi dikutip oleh pelbagai kontraktor tetapi lokasi mereka membuang sampah itu tidak diketahui.

“Sekiranya mereka hantar sampah itu ke kawasan yang telah disediakan di Selangor mereka kena bayar, jadi kos bertambah.

“Jadi bagi kilang atau kontraktor yang nak jimatkan kos mereka buang sampah di merata tempat atau di tanah yang tidak dijaga dan ia mewujudkan tempat pembuangan sampah haram,” katanya.

Sze Han berkata, Selangor perlu mencari kaedah atau menggunakan teknologi moden dalam sistem pengurusan sampah agar sampah dapat dilupuskan dengan cara lebih sesuai dan lestari.