Tiada istilah 'puas hati' dalam konflik PN di Perak

Muhammad Faiz
Muhammad Faiz
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada istilah ‘puas hati’ susulan kemelut antara parti-parti Perikatan Nasional (PN) di Perak.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, ketetapan yang diambil dengan melantik Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu hanyalah sebagai suatu bentuk kompromi sahaja.

"Tiada istilah 'puas hati' dalam konflik yang dicipta oleh pihak yang kita dianggap sebagai rakan dalam kerajaan sendiri.

"Apa yang diputuskan sebagai penyelesaian di Perak itu merupakan suatu bentuk kompromi supaya keadaan tidak menjadi lebih rumit lagi terutama untuk peringkat rakyat dan negeri Perak," katanya seperti dilaporkan Malaysiakini hari ini.

Muhammad Faiz berkata demikian mengulas pelantikan Saarani sebagai Menteri Besar Perak yang baharu hari ini.

Sementara itu, mengulas titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini, Muhammad Faiz bersependapat dengan baginda bahawa apa yang berlaku di negeri itu bukan sesuatu yang membanggakan.

"Saya setuju dengan teguran baginda Sultan Perak bahawa ia bukan sesuatu yang membanggakan apabila negeri itu sering bertukar MB (Menteri Besar) di ‘tengah jalan’.

"Bersatu dan Pas sejak dari awal pembentukan PN bukan saja komited ke arah perpaduan rakyat malah mendukung disiplin serta etika untuk menjayakan kerajaan bersama melalui konsep musyawarah, kongsi kuasa, toleransi dan hormat-menghormati.

Artikel Berkaitan:

"Kami dalam PN tidak pernah menyerang atau ‘friendly fire’ sesama sendiri sama ada dalam Parlimen, DUN (Dewan Undangan Negeri) atau melalui media terbuka.

"Ini agak berbeza dengan sikap yang ditunjukkan oleh beberapa pemimpin atau wakil rakyat daripada UMNO," katanya.

Muhammad Faiz bagaimanapun menghargai peranan yang dimainkan kepimpinan tertinggi UMNO khususnya yang disifatkan berperanan seperti pendamai seperti Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Kita perlukan lebih ramai lagi watak pemimpin pendamai seperti mereka dalam negara ini supaya bangsa kita akhirnya boleh bersatu-padu walaupun berlainan wadah politik," katanya.