RM6,000 lesap ditipu 'kawan' bapa

Seorang wanita kerugian RM6,000 akibat ditipu seorang lelaki yang menyamar sebagai rakan bapanya. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
Seorang wanita kerugian RM6,000 akibat ditipu seorang lelaki yang menyamar sebagai rakan bapanya. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Seorang tukang jahit kerugian RM6,000 akibat ditipu seorang lelaki yang menyamar sebagai rakan bapanya, kelmarin.

Wanita berusia 26 tahun dari Jerantut itu membantu lelaki tersebut dengan meminjamkan wang RM6,000 sebelum menyedari nombor akaun bank yang diberikan suspek pernah digunakan untuk menipu mangsa lain.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa dihubungi lelaki bernama Yong Kee yang mengaku sebagai rakan bapanya pada 8 Disember lalu untuk bertanya khabar dan turut memberitahu berhubung kehilangan dompet dan telefon bimbitnya.

Menurutnya, melalui panggilan itu, suspek turut menjemput mangsa dan keluarga untuk hadir majlis pembukaan kafenya hujung bulan ini.

"Nasib malang menimpa mangsa itu berlaku selepas suspek menghubunginya pada hari berikutnya untuk meminjam wang dan berjanji akan pulangkan kembali wang tersebut dalam tempoh tiga hingga empat jam.

"Percaya lelaki itu sebagai kawan bapanya, mangsa telah memasukkan wang RM4,000 ke dalam akaun bank yang diberikan suspek pada hari yang sama.

"Selepas wang tersebut dimasukkan, suspek minta pinjam RM2,000 lagi kerana akaun banknya menghadapi masalah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa akur apabila memasukkan lagi RM2,000 seperti yang diminta melalui akaun bank yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Selepas selesai, mangsa menghubungi lelaki tersebut memaklumkan wang sudah dimasukkan dan suspek menjawab 'okey'.

"Mangsa menyedari telah ditipu apabila membuat semakan nombor akaun bank yang diberikan suspek di laman sosial Facebook dan mendapati ia pernah digunakan untuk menipu mangsa lain menggunakan helah yang sama," katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Jerantut, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.