Penarafan Malaysia turun kerana pemimpin PH sabotaj politik negara

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan mendakwa pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) sebagai punca ketidakstabilan politik negara sehingga menyebabkan Fitch Ratings melakukan semakan semula penarafan ke atas Malaysia.

Wan Saiful berkata, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta rakan sekutu mensabotaj kestabilan politik dan ekonomi sehingga rakyat menanggung kesannya.

Menurutnya, pemimpin berkenaan terus-menerus menggugat kestabilan negara dan kini mempergunakan penarafan Fitch Ratings untuk menuntut undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

“Strategi undi tidak percaya dan usaha mahu merampas kuasa telah menjadi strategi DAP, PKR dan rakan-rakan mereka yang ada kepentingan peribadi untuk terus menggugat kestabilan kerajaan.

“Seharusnya penarafan Fitch itu menjadi isyarat agar berhenti segera bermain politik, fokus kepada bantu rakyat seperti yang diusahakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Barulah negara akan stabil dan penarafan akan jadi baik. Ini tidak. Dia yang berterusan merosakkan keadaan tapi nak salahkan orang lain,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Jelas beliau, politik negara yang tidak stabil ketika ini adalah disebabkan oleh tindakan berterusan DAP, PKR dan rakan sekutu dengan usaha menggugat kestabilan kerajaan.

Wan Saiful turut membangkit siapa yang menyebabkan Fitch Ratings memberi ulasan sedemikian.

Artikel Berkaitan:

“Jawabnya ialah Anwar, Lim Guan Eng, dan kawan-kawan mereka.

“Kalau mereka menyokong usaha kerajaan semasa krisis Covid-19 ini, atau paling tidak pun diam sekejap buat sementara, maka tak wujudlah masalah yang Fitch sebut itu,” ujarnya.

Fitch Ratings mengumumkan penurunan penarafan ke atas Malaysia daripada 'A-' kepada 'BBB+', dengan prospek bertambah baik daripada negatif kepada stabil.

Agensi penarafan antarabangsa dalam satu kenyataan berkata, penurunan nilai IDR disebabkan krisis Covid-19 yang menjejaskan beberapa kredit metrik utama Malaysia termasuk langkah kerajaan menangani pandemik dengan bantuan kewangan kepada rakyat dan perniagaan yang meningkatkan bebanan fiskal.