Dua pembalak haram ditahan ketika punggah kayu balau

No Image Caption
A
A
A

MACHANG - Jabatan Perhutanan Kelantan menahan dua lelaki disyaki pembalak haram ketika kedua-duanya sedang memunggah sejumlah kayu balau di Hutan Simpan Kekal Chabang Tongkat, di sini malam tadi.

Pengarah Perhutanan Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah berkata, suspek berusia 49 dan 36 tahun terbabit ditangkap pada jam 10 malam oleh sepasukan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) daripada Pejabat Hutan Jajahan Kelantan Timur yang telah membuat risikan awal selepas menerima aduan awam.

"Dua suspek penduduk tempatan itu dilihat sedang memunggah kayu disyaki spesies balau sepanjang kira-kira 4.8 hingga 6 meter ke dalam lori yang ditarik dengan traktor.

“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen yang membenarkan mereka memiliki hasil hutan daripada pihak jabatan, iaitu satu kesalahan menurut Seksyen 84 (1) Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Hutan Jajahan Kelantan Timur di sini, hari ini.

Abdul Khalim berkata kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Pulai Chondong dan satu laporan polis telah dibuat berkaitan kes itu.

"Jika sabit kesalahan kedua-dua suspek boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 dan penjara tidak kurang daripada lima tahun," katanya.

Menurutnya, pihak jabatan turut menyita sebuah motosikal yang telah diubah suai, sebuah traktor dan kayu balau yang dianggarkan seberat hampir dua tan bernilai kira-kira RM7,000.

Mengulas lanjut, Abdul Khalim berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai kemahiran membelah kayu dan melakukan kegiatan itu sejak beberapa hari lepas.

Artikel Berkaitan:

Kayu balau merupakan bahan yang kukuh dan sesuai digunakan dalam pembinaan rumah, khususnya untuk membuat rabung, katanya yang tidak menolak kemungkinan suspek menerima permintaan daripada pihak lain untuk mendapatkan kayu itu. - Bernama