Lagi mangsa cabul ‘ustaz’ buat laporan polis

MOHD ADLI
MOHD ADLI
A
A
A

HULU TERENGGANU - Selepas tiga hari penahanan seorang bekas pengamal perubatan digelar 'ustaz' kerana mencabul ketika merawat pesakit, satu lagi laporan sama dibuat terhadap suspek hari ini.

Mangsa seorang jurujual berusia 25 tahun membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang kira-kira jam 3.15 petang apabila menyedari dia dan adiknya turut menjadi mangsa pengamal perubatan itu dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 9 September 2018 ketika mangsa bersama adiknya menjalani rawatan dengan ustaz berkenaan.

“Semasa rawatan, suspek memaklumkan mangsa dan adiknya berumur 23 tahun terkena buatan orang lalu melakukan rawatan ke atas mereka berdua.

“Ketika rawatan dilakukan, suspek bertindak memeluk dan memegang payudara serta kemaluan mangsa. Perbuatan itu turut dilakukan kepada adiknya pada hari sama,” katanya kepada media hari ini.

Menurut Mohd Adli, lima hari kemudian dua beradik itu ditemani ibunya telah berkunjung ke sebuah pusat rawatan Islam di Kuala Berang bagi memastikan sama ada suspek berkerja di sana atau tidak.

Beliau berkata, pihak pengurusan memaklumkan bahawa ustaz berusia 52 tahun berkenaan merupakan salah seorang ahli perubatan di sana.

Bagaimanapun katanya, mangsa terkejut apabila terbaca laporan wanita dicabul ustaz ketika menerima rawatan perubatan Islam yang dilaporkan media semalam dan mengesyaki suspek yang orang sama mencabul mereka dua tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Mangsa kemudian mengambil keputusan membuat laporan polis hari ini dan ini merupakan laporan kedua yang dibuat terhadap suspek selepas laporan pertama 6 Disember lalu.

“Suspek masih direman sehingga esok (9 Disember) dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya.