Bersatu belum terima titah menghadap Sultan Perak

Ahmad Faizal Azumu
Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

IPOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak belum menerima titah untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini.

Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya tidak menerima titah secara rasmi dari pihak Istana sepertimana yang dilaporkan oleh media massa.

“Bersatu Perak ingin menjelaskan bahawa sehingga kini Bersatu masih belum memohon untuk menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung isu pelantikan Menteri Besar Perak.

“Dalam pada itu, Bersatu Perak juga ingin memaklumkan bahawa kami tidak menerima titah untuk menghadap baginda secara rasmi daripada pihak istana sepertimana dilaporkan oleh media massa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pagi tadi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengesahkan sudah menghadap Sultan Perak di Istana Kinta hari ini diikuti pimpinan Pakatan Harapan iaitu Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Parti Amanah Negara Perak, Datuk Asmuni Awi.

Bagaimanapun, mereka mengesahkan tiada sebarang nama calon menteri besar daripada PH dikemukakan kepada baginda Sultan.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memaklumkan bahawa parti itu sudah mendapat sokongan majoriti bagi melantik Menteri Besar Perak yang baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: PH tak nyata pendirian sokong UMNO jadi MB

Artikel Berkaitan:

ADUN Titi Serong sudah menghadap Sultan Perak

Sultan Perak titah semua ADUN Bersatu, Pas menghadap

UMNO sudah cukup majoriti lantik MB: Ahmad Zahid