UMNO sudah cukup majoriti lantik MB: Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita hari ini.
Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita hari ini.
A
A
A

IPOH - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa parti itu sudah mendapat sokongan majoriti bagi melantik Menteri Besar Perak yang baharu.

Menurutnya, nama calon berkenaan telahpun dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta hari ini untuk dipertimbangkan baginda.

"Alhamdulillah, saya telah diperkenankan untuk menghadap baginda dan saya telah mempersembahkan surat memohon untuk diperkenan bagi mempertimbangkan calon Menteri Besar Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Zahid Hamidi menghadap Sultan Perak, sembah maklum keputusan mesyuarat

Bersatu kesal UMNO tidak sokong usul undi percaya MB Perak

UMNO akan terus pertahankan kerajaan PN Perak

Anwar restu kerjasama PH-UMNO bentuk kerajaan Perak

"Hak untuk mencalonkan itu adalah hak UMNO dan Barisan Nasional (BN), tetapi hak untuk umumkan calon itu adalah hak mutlak Tuanku, pengumuman untuk nama calon Menteri Besar itu akan dibuat oleh Tuanku sendiri," katanya kepada pemberita selepas menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta di sini hari ini.

Pengerusi BN itu memberi bayangan bahawa pembentukan kerajaan baharu di Perak adalah hasil kesepakatan Perikatan Nasional (PN) antara UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah menyatakan bahawa seboleh mungkin kita pertahankan kesepatakan PN.

"Sokongan yang diperoleh UMNO ketika ini adalah lebih daripada mencukupi," katanya.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dilihat berada di pekarangan Istana Kinta bagi menghadap Sultan Nazrin.

Jawatan Menteri Besar Perak kini kosong apabila Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang daripada Bersatu meletak jawatan Sabtu lepas.

Peletakan jawatan itu dibuat selepas beliau gagal mendapat sokongan majoriti dalam usul undi percaya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat.

Usul yang dibawa ADUN Pengkalan Baharu daripada BN, Datuk Abd Manaf Hashim itu menyaksikan Ahmad Faizal hanya memperoleh sokongan 10 undi, 48 undi menolak manakala satu berkecuali.

DUN Perak merangkumi 25 BN, DAP (16), Parti Amanah Negara (Amanah) (5), Bersatu (5), Parti Keadilan Rakyat (PKR) (3) dan Pas (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.