X

Kindly register in order to view this article
!

Penganggur berdepan hukuman mati

Polis menunjukkan syabu yang berjaya dirampas dalam satu serbuan di Manggatal, Kota Kinabalu.
A
A

KOTA KINABALU - Seorang penganggur berdepan dengan hukuman gantung sampai mati selepas didapati memiliki dadah jenis syabu dalam satu serbuan di Manggatal semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan bersama dadah jenis syabu sebanyak 63.06 gram yang dianggarkan bernilai RM6,306.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

"Ketika tangkapan dibuat, suspek dilihat sedang berjalan kaki dalam keadaan mencurigakan sambil memegang satu beg plastik menuju ke arah kenderaan jenis Proton Saga FLX yang diletakkan di kawasan parkir.

"Suspek juga dilihat dalam keadaan tergesa-gesa masuk ke dalam kenderaan bersama beg plastik yang dipegang sebelum polis bergegas ke arah kenderaan yang dinaiki serta menahan suspek," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

George berkata, hasil pemeriksaan terhadap beg plastik yang dipegang suspek menemui tiga paket syabu yang disembunyikan dalam kotak telefon bimbit.

Dadah jenis syabu yang disembunyikan dalam kotak telefon bimbit.
Dadah jenis syabu yang disembunyikan dalam kotak telefon bimbit.

"Hasil siasatan lanjut, suspek adalah penganggur dan menjadi dalang kepada sindiket pengedaran dadah di kawasan perumahan Telipok demi mendapat wang dengan mudah.

"Suspek berperanan sebagai penjual secara kecil-kecilan dengan membeli dadah itu dalam kuantiti yang banyak daripada pengedar dan menjualnya semula kepada penagih dalam bentuk paket kecil," katanya.

Tambah George lagi, siasatan mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Ujian saringan urin suspek juga didapati positif dadah dan kenderaan yang dinaiki suspek dirampas untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati dan Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!