X

Kindly register in order to view this article
!

Diperintah bayar RM89,144.03, Nelydia Senrose fail rayuan

Nelydia Senrose
A
A

KUALA LUMPUR - Pelakon, Nelydia Senrose memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen di sini, yang memerintahkannya untuk membayar ganti rugi berjumlah RM89,144.03 kepada Chriszen Malaysia Sdn Bhd selepas syarikat kosmetik berkenaan memenangi kes saman terhadapnya dua bulan lalu.

Menerusi carian sistem mahkamah, Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 26, selaku perayu, menyatakan Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf terhadap fakta bahawa Perjanjian Duta Jenama bertarikh 21 Disember 2018 telah dipenuhi dan pihaknya masih dalam tempoh untuk menyempurnakan terma perjanjian yang belum tamat tempoh.

Dalam rayuan yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 26 Oktober lalu, Nelydia selaku perayu menyatakan bahawa hakim terkhilaf dalam membuat keputusan tersebut apabila gagal memberikan pertimbangan wajar bahawa perayu telah melaksanakan kewajipannya dalam perjanjian yang dimeterai.

Heroin filem 'Jebat' itu juga mengatakan, hakim terkhilaf apabila memutuskan bahawa perayu perlu membayar ganti rugi terhadap majlis responden (acara pelancaran produk) sedangkan syarikat itu telah menerima notis dan mengetahui ketidaklapangannya untuk menghadiri majlis tersebut.

Dalam pada itu, Chriszen Malaysia selaku responden dalam rayuan balas semalam mendakwa hakim terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dengan secara salah memutuskan bahawa kos perkhidmatan sebanyak RM62,275 yang diberikan kepada syarikat bukan sepenuhnya seperti yang dituntut oleh responden sedangkan perayu harus mengembalikan kesemua kos perkhidmatan iaitu RM102,275.

Syarikat kosmetik itu juga mendakwa bahawa hakim tidak mengambil kira apabila hanya memberikan jumlah ganti rugi khas sebanyak RM16,869 dan ganti rugi am sebanyak RM10,000 sedangkan responden memohon bagi kedua-dua ganti rugi itu RM61,702 kerana mengalami kerugian dan hilang reputasi.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Nurliana Ismail melalui prosiding atas lain (e-review).

Pada 13 Oktober lalu, Nelydia Senrose diperintah membayar ganti rugi berjumlah RM89,144.03 kepada Chriszen Malaysia Sdn Bhd selepas syarikat kosmetik berkenaan memenangi kes saman, berhubung perlanggaran perjanjian sebagai duta jenama produk kecantikan Chriszen, tahun lalu.

Dalam penghakimannya, Shamsudin berkata, Nelydia tidak ikhlas dalam melaksanakan tugasnya sebagai duta jenama produk kecantikan berkenaan.

Menurutnya, mahkamah mendapati defendan lebih mengutamakan bulan madu perkahwinannya daripada mematuhi perjanjian duta jenama berkenaan.

Maka katanya, mahkamah mendapati alasan sebenar mengapa beliau tidak menghadiri acara pelancaran produk Chriszen adalah kerana bulan madu dan bukan kerana plaintif (Chriszen) tidak memberi notis secukupnya.

Chriszen Malaysia Sdn Bhd selaku plaintif memfailkan saman itu melalui Tetuan Gee, Lee & Tan pada 7 Oktober 2019 dengan menamakan Alfie Management Sdn Bhd dan Nelydia Senrose masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Berdasarkan pernyataan tuntutan terpinda, plaintif mendakwa sekitar Mac 2019 defendan kedua telah bersetuju untuk menghadiri satu acara pelancaran media 'Match Matte Serum Foundation' yang akan berlangsung pada 25 April 2019.

Bagaimanapun pada 12 April tahun sama, plaintif mendakwa bahawa pelakon itu tidak menghadiri acara itu tanpa sebab yang munasabah.

Maka, plaintif menuntut kos perkhidmatan berjumlah RM102,275 dan kerugian RM61,702; ganti rugi am; faedah dan apa-apa perintah atau relief yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!