X

Kindly register in order to view this article
!

Warga Myanmar maut ditikam rakan mabuk

Mangsa dibunuh oleh rakan senegaranya selepas terbabit dalam pertengkaran ketika mabuk di Pusing, Sabtu lalu.
A
A

BATU GAJAH - Seorang lelaki warga Myanmar maut ditikam rakan senegaranya selepas bertengkar ketika mabuk di sebuah kilang memproses sisa buangan plastik Bandar Baru Siputeh, Pusing, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, mangsa berusia 36 tahun terbabit dalam pertengkaran bersama tiga rakannya ketika sedang makan malam di depan rumah kongsi yang didiami mereka.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ditikam dengan gunting di bahagian rusuk kiri.

“Siasatan awal mendapati kejadian bermula dengan pergaduhan kecil sebelum mangsa dipercayai ditikam menggunakan sebilah gunting yang dijumpai di tempat kejadian.

“Punca pertengkaran disebabkan keempat-empat pekerja Myanmar tersebut mabuk. Mangsa mengalami kecederaan di bahagian rusuk kiri dan disahkan maut oleh pegawai perubatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Adnan berkata, kejadian itu disaksikan oleh seorang pekerja Bangladesh yang bertindak menghubungi majikan serta polis.

“Bertindak atas maklumat, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah menangkap suspek utama pada jam 4 pagi, kelmarin semasa dia balik semula ke rumah kongsi tersebut.

“Berdasarkan pengakuan mulut, suspek mengakui telah membunuh mangsa. Bagaimanapun, siasatan diteruskan dan berjaya menahan dua lagi suspek kira-kira jam 8.45 malam di Jalan Bota - Tronoh di sini,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, ketiga-tiga suspek berusia 29, 30 dan 36 tahun itu direman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Dengan penahan kesemua suspek, kes bunuh tersebut berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!