Mansuh saman trafik: PDRM belum putuskan

Mohamad Fuzi (kanan) ketika sidang media majlis serah tugas Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini.
Mohamad Fuzi (kanan) ketika sidang media majlis serah tugas Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum membuat sebarang keputusan mengenai isu pemansuhan diskaun kepada pesalah trafik.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya akan terlebih dahulu mendapatkan butiran terperinci daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook yang mahu meluaskan dasar tiada tawaran diskaun terhadap mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kesalahan lalu lintas kepada saman trafik dan saman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Mohamad Fuzi berkata, PDRM tidak berada di bawah Kementerian Pengangkutan sebaliknya di bawah KDN.

“Kita (PDRM) perlu mendapatkan butiran lengkap terlebih dulu dan mungkin menyelaraskannya dengan KDN sebelum memberikan sebarang kata putus.

“Namun, dalam tempoh musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina ini, polis mengumumkan tidak akan memberi diskaun kepada pesalah trafik” katanya pada sidang media majlis serah tugas Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, petang tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri bincang dengan polis, batal diskaun saman

Beliau berkata, dalam situasi ini, PDRM tidak boleh bertolak ansur dalam usaha menurunkan kadar kemalangan jalan raya.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang pemberian diskaun oleh cawangan atau IPK polis bukan dibuat sewenang-wenangnya kerana IPK yang terlibat perlu mendapat persetujuan daripada Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

“PDRM melaksanakan pemberian diskaun menerusi sesuatu program berbentuk kemasyarakatan," ujarnya.

Jelas beliau lagi, adakalanya, kesalahan (pesalah jalan raya) itu sudah banyak dan PDRM mahu meringankan beban mereka menerusi tawaran dalam program seumpamanya sekaligus menggalakkan orang ramai membayar saman.