Zidane akui berdepan tekanan hebat

Kesebelasan Real Madrid
Kesebelasan Real Madrid
A
A
A

BIARPUN beraksi di laman sendiri, pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane mengakui dirinya tetap berdepan tekanan hebat menjelang aksi terakhir peringkat Kumpulan B Liga Juara-Juara berdepan pendahulu, Borussia Monchenglabach awal pagi Khamis nanti.

Menurutnya, aksi kali ini diibaratkan sebagai aksi paling getir buat dirinya di sepanjang kariernya sebagai pengendali pasukan.

Justeru katanya, kesemua pemain telah diingatkan untuk memberikan aksi terbaik masing-masing dan beraksi dengan satu tujuan iaitu untuk mencatatkan kemenangan.

“Ya, sudah tentu perlawanan ini adalah perlawanan paling sukar dalam karier saya, jika sebelum ini kita sering berdepan dengan saat-saat yang mendukacitakan, kritikan dan kali ini ia adalah sama.

“Bagaimanapun, saya dapat merasakan kesebelasan pemain akan dapat ‘melakukannya’ ketika beraksi di atas padang nanti.

“Sekali gus perlawanan ini akan memberikan peluang kepada mereka untuk membuktikan bahawa kita adalah sebuah pasukan yang hebat,” katanya.

Untuk rekod saingan Kumpulan B masih terbuka dengan keempat-empat pasukan masih berpeluang untuk menempah slot ke pusingan kalah mati.

Real Madrid kini berada pada kedudukan ketiga Kumpulan B dengan tujuh mata hasil dua kemenangan, seri sekali dan tewas dua kali daripada lima perlawanan berbanding Monchengladbach yang mengumpul lapan mata hasil dua kemenangan, dua seri dan tewas sekali daripada lima perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Satu lagi perlawanan bakal menemukan Shaktar Donetsk yang mengumpul tujuh mata setakat ni hasil dua kemenangan, seri sekali dan tewas dua kali dan Inter Milan yang mengumpul lima mata hasil satu kemenangan, seri dua kali dan tewas dua kali daripada lima perlawanan.

Sementara itu, Zidane mengulangi pendiriannya untuk tidak meletakkan jawatan, sebaliknya mahu terus mengemudi skuad Los Blanco itu untuk mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara kali ini.

“Saya akan terus mengemudi pasukan ini. Saya langsung tidak fikirkan untuk meletak jawatan.

“Saya akan mengambil tanggungjawab untuk terus mengemudi pasukan ini,” katanya.