Petugas kesihatan maut: Najib, Noor Hisham, MB Pahang ucap takziah

Dari Facebook Wan Rosdy memaparkan gambar keadaan kenderaan yang dilaporkan terbabit dalam kemalangan tersebut
Dari Facebook Wan Rosdy memaparkan gambar keadaan kenderaan yang dilaporkan terbabit dalam kemalangan tersebut
A
A
A

KUANTAN - Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak antara yang berkongsi duka mengenai korban kemalangan membabitkan petugas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan pagi tadi.

Kesemua mereka berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dr Noor Hisham dalam hantaran berkenaan memaklumkan, dua petugas kesihatan meninggal dunia dalam kemalangan tersebut dalam perjalanan menghantar Pasukan Bergerak Orang Asli, PKD Pekan ke perkampungan Orang Asli untuk melakukan lawatan pemeriksaan kesihatan berkala.

"Kemalangan tersebut telah meragut nyawa pemandu dan seorang jururawat, manakala seorang pegawai perubatan telah dirujuk untuk rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Afzan.

"Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan yang terkorban ketika melaksanakan tugas. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

Sementara itu, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula berharap keluarga kedua-dua petugas berkenaan tabah menerima berita sedih itu.

"Saya ucapkan salam takziah kepada ahli keluarga arwah dan tabah menghadapi dugaan ini. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman," tulisnya di Facebook rasmi beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: Jururawat, pemandu kenderaan KKM maut nahas jalan raya

Artikel Berkaitan:

Di Facebook Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pula dihujani ucapan takziah dari semua pengikut laman sosialnya.

"Al-Fatihah. Mulia tugas mereka. Berkhidmat menjaga kesihatan di perkampungan orang Asli. Namun, Allah lebih menyayangi mereka.

"Takziah kepada ahli-ahli keluarga Allahyarham Mohd Zuhairi Abdullah (pemandu) dan Allahyarhamah Julayha Kudus (jururawat kesihatan) yang telah pulang ke rahmatullah awal pagi tadi.

"Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman," tulisnya.

Dalam kejadian membabitkan tiga kenderaan kira-kira jam 10.30 pagi di Kilometer 32 Jalan Kuantan-Nenasi-Rompin itu, kedua dua mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima mangsa lain selamat dan turut alami kecederaan.