Teroka kolaborasi baharu, atasi kejatuhan harga komoditi

Mazlan (dua, kanan) bersama Amiruddin (kiri) dan Phahrolrazi (dua, kiri) ketika meninjau kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd.
Mazlan (dua, kanan) bersama Amiruddin (kiri) dan Phahrolrazi (dua, kiri) ketika meninjau kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd.
A
A
A

GURUN - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan mengadakan kolaborasi bersama Felda, Felcra dan Risda dalam usaha membantu penduduk luar bandar menjana pendapatan sampingan.

Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, projek perintis dijangka bermula April depan di Felda Sungai Tengi bagi menampung pendapatan peneroka yang terjejas akibat kejatuhan harga komoditi.

Menurutnya, antara projek yang akan dibangunkan adalah tanaman kontan berkonsepkan fertigasi bagi kawasan yang mempunyai keluasan tanah terhad.

“Ini antara alternatif untuk jana pendapatan penduduk luar bandar. Mesyuarat Lembaga Pengarah LPP telah setuju adakan kolaborasi itu bagi membantu pekebun kecil yang terjejas, dengan memilih tanaman yang cepat mengeluarkan hasil,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd, bersama Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi.

Mazlan berkata, pihaknya percaya dengan penggunaan teknologi moden, keluasan tanah minima juga boleh diusahakan atas tanah rancangan Felda.

“Bagi projek jangka panjang, agensi ini memiliki tanah luas sekitar ladang kelapa sawit, contohnya, FGV Holdings Berhad memiliki 360,000 hektar tanah yang boleh dibangunkan untuk tujuan itu, termasuk projek ternakan di kebun terpilih,” katanya.

Katanya, perbincangan susulan membabitkan kesemua agensi kerajaan itu akan dilakukan bagi mengenal pasti projek dan lokasi bersesuaian.

Artikel Berkaitan:

“Dalam tempoh terdekat, Felda Sungai Tengi akan jadi perintis bagi projek pertama.

"Saya harap projek ini bakal mengubat keresahan penduduk luar bandar untuk tampung pendapatan yang terjejas,” katanya.