Skandal rasuah bantuan Covid-19 Indonesia

KPK menunjukkan wang berjumlah RM4.1 juta di dalam beg pakaian yang dibawa dua kontraktor yang dilantik untuk membekalkan pakej bantuan makanan kepada mangsa terjejas pandemik Covid-19. - Foto: Agensi
KPK menunjukkan wang berjumlah RM4.1 juta di dalam beg pakaian yang dibawa dua kontraktor yang dilantik untuk membekalkan pakej bantuan makanan kepada mangsa terjejas pandemik Covid-19. - Foto: Agensi
A
A
A

JAKARTA - Indonesia digemparkan dengan skandal rasuah berkaitan bekalan bantuan Covid-19 di negara itu.

Pagi tadi, Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) menahan Menteri Hal Ehwal Sosial, Juliari P Batubara untuk membantu siasatan kes tersebut yang melibatkan sebuah syarikat swasta yang didakwa mendapat kontrak daripada kementerian beliau berhubung pakej bantuan untuk mangsa terjejas pandemik itu.

Penahanan Juliari berlaku sehari selepas KPK menggagalkan cubaan dua individu AIM dan HS untuk memberikan wang suapan dalam nilai rupiah, dolar AS dan dolar Singapura berjumlah 14.5 bilion rupiah (RM4.1 juta) kepada beliau dan dua pegawai tinggi kementerian terbabit dikenali sebagai MJS serta AW.

Ketua KPK, Firli Bahuri menamakan Juliari yang merupakan anggota Parti Demokratik Perjuangan (PDI-P) sebagai suspek sekali gus menteri kedua di bawah pentadbiran penggal kedua Joko Widodo atau Jokowi yang terlibat kes rasuah.

Menurut Firli, Juliari dipercayai menerima 8.2 bilion rupiah (RM2.3 juta) untuk fasa pertama pakej bantuan sosial tersebut dan baki berjumlah 8.8 bilion rupiah (RM2.5 juta) untuk fasa kedua berhubung pengagihan makanan ruji seperti beras dan minyak masak bermula Oktober hingga Disember 2020.

Pada 25 November lalu, Menteri Perikanan dan Hal Ehwal Maritim, Edhy Prabowo juga diberkas atas kes rasuah berhubung keputusan kementerian terbabit untuk menarik balik larangan terhadap eksport larva udang karang.

Penahanan beliau bersama beberapa pegawai kementerian terbabit dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta selepas mereka kembali dari lawatan di AS.

Kira-kira seminggu selepas itu, bekas pesuruhjaya agensi audit tertinggi Indonesia, Rizal Djalil juga didakwa dengan kes rasuah membabitkan projek di bawah Kementerian Perumahan dan Kerja Awam. - Agensi

Artikel Berkaitan: