Krisis Perak: PKR belum buat keputusan mahu bergabung UMNO

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu menyertai pembentukan kerajaan baharu bersama UMNO di Perak atau tidak.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dengan berkata, PKR menunggu sehingga situasi sebenar politik di Perak kelihatan lebih jelas untuk parti tersebut membuat keputusan.

"Saya tidak mahu bagi sebarang komen sehingga perkara itu lebih jelas," katanya ringkas kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas sama ada PKR akan bergabung dengan UMNO bagi membentuk kerajaan baharu di Perak.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu berkata, PKR akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pendirian parti itu.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan parti itu bergabung dengan beberapa parti lain, termasuk Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan negeri di Perak.

Beliau berkata, langkah itu terpaksa dibuat susulan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini.

“Tetapi ia akan mengambil kira semua pertimbangan politik agar kerajaan yang terbentuk lebih kukuh dukungannya,” kata beliau kepada pemberita di luar Istana Kinta selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN 'Jangan terlalu cepat rai penyingkiran saya'

Artikel Berkaitan: