Kapal korek, pasir bernilai RM1.02 juta dirampas

Kapal korek yang dirampas ketika Op Gelora Khas, Sabtu lalu.
Kapal korek yang dirampas ketika Op Gelora Khas, Sabtu lalu.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Pasukan Polis Marin (PPM) menahan sebuah kapal korek pasir yang didapati beroperasi tanpa kebenaran pihak berkuasa negara ini, Sabtu lalu.

Kapal yang berdaftar di Lome, Republik Togo, Afrika Barat dan disewakan oleh sebuah syarikat tempatan itu ditahan di kedudukan 1.7 batu nautika di perairan Tanjung Rhu, Telok Panglima Garang, dekat sini, lebih kurang jam 1.50 petang.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDN/KA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam operasi membabitkan seorang pegawai dan tujuh anggota itu turut menyita 1,500 tan pasir berjumlah RM1.02 juta termasuk kapal korek tersebut.

Menurut beliau, seorang kapten berusia 35 tahun bersama lima kru kapal warga China berusia 26 hingga 54 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Acryl Sani (dua, kanan) melihat pasir yang disedut kapal korek terbabit.
Acryl Sani (dua, kanan) melihat pasir yang disedut kapal korek terbabit.

Katanya, turut ditahan seorang warga Myanmar berusia 34 tahun dipercayai terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan elektrik.

"Ketika Op Gelora Khas dijalankan, kita telah mengesan dan menahan sebuah kapal korek yang sedang menjalankan aktiviti mengambil pasir dengan cara menyedut dari dasar laut.

"Hasil pemeriksaan lanjut di bahagian dek hadapan menerusi timbunan pasir laut dipercayai hasil daripada aktiviti mengambil pasir," katanya dalam sidang media di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang, di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Operasi) KDNKA, Datuk Mohd Fisol Salleh, Ketua KDNKA Gerakan Bukit Aman, Datuk Zulkiffli Salleh dan Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang, Khairuddin Jamal.

Siasatan mendapati kapal berkenaan beroperasi tanpa permit dan kebenaran Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Selangor.

"Kapten kapal memberi alasan semua dokumen disimpan di pejabat syarikat kapal tersebut. Kita telah berhubung dengan pihak syarikat kapal untuk mengemukakan semua dokumen berkaitan permit mengorek dan mengambil pasir di perairan Selangor.

"Namun sehingga Ahad lalu, syarikat terbabit gagal mengemukakan dokumen berkaitan," katanya.

Acryl Sani berkata, siasatan awal mendapati, pasir tersebut dipercayai dijual untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 426 Kanun Tanah Negara kerana mengeluarkan dan mengalih bahan batuan secara tidak sah dan tanpa permit dari pengarah galian.

"Kes juga disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan(Akta 574) 1976 kerana mencuri dan Seksyen 6 (1) dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan serta tinggi serta berada di negara ini tanpa pas atau permit yang sah," katanya.