X

Kindly register in order to view this article
!

Semakan semula penarafan Fitch susulan Covid-19, politik negara

Tengku Zafrul
A
A

KUALA LUMPUR - Semakan semula penarafan kredit negara ke atas Malaysia oleh Fitch Ratings adalah disebabkan terutamanya impak negatif daripada pandemik Covid-19 ke atas kedudukan fiskal negara dan situasi politik tempatan ketika ini, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau melahirkan rasa kecewa kerajaan dengan penarafan tersebut terutamanya ketika tempoh luar biasa ketika ini memandangkan penularan pandemik itu masih lagi belum berakhir.

Lagipun, katanya, Malaysia telahpun mula melihat petanda pemulihan ekonomi hasil daripada pelbagai pakej rangsangan yang dilaksanakan kerajaan sejak Mac 2020.

"Dengan menumpukan semata-mata kepada kedudukan fiskal dan situasi politik, keputusan Fitch itu tidak memberikan gambaran sebenar dan tidak mengiktiraf hasil usaha tindak balas krisis oleh kerajaan serta asas ekonomi negara yang masih kukuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fitch hari ini mengumumkan penurunan penarafan kredit negara ke atas Malaysia daripada ‘A-’ kepada ‘BBB+’, dengan tinjauan lebih baik daripada negatif kepada stabil.

Menurut Tengku Zafrul, agensi-agensi penarafan kredit telah mengenakan lebih 220 tindakan penarafan negatif sejak awal Mac, dengan tindakan penurunan penarafan kepada lebih 100 buah negara apabila para penggubal dasar mengambil tindakan mendesak dan pantas demi melindungi nyawa dan kehidupan rakyat.

Kerajaan di seluruh dunia telah melaksanakan pakej rangsangan ekonomi berjumlah hampir AS$11.7 trilion yang meningkatkan defisit fiskal pada kadar purata sembilan peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), dengan hutang sektor awam dijangka menghampiri 100 peratus daripada KDNK pada akhir tahun 2020, katanya.

Menurutnya, asas ekonomi negara yang kukuh serta langkah fiskal berkesan membolehkan Malaysia melaksanakan tindakan yang cepat, berkesan dan strategik dalam menghadapi persekitaran mencabar dan pada masa yang sama mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan untuk masa hadapan.

Kerajaan telah bertindak segera dan berterusan dalam menangani krisis Covid-19 menerusi sekurang-kurangnya empat pakej rangsangan bernilai RM305 bilion (AS$75 bilion) atau sekitar 20 peratus daripada KDNK untuk membantu rakyat dan menyokong perniagaan.

"Kesemua pakej tersebut dijangka menyumbang lebih empat mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK pada 2020.

"Langkah pakej rangsangan yang bersasar dan bersifat sementara tersebut telah membantu mengurangkan impak terhadap defisit fiskal kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan berjaya mengurangkan paras defisit daripada 6.7 peratus daripada KDNK pada 2009 kepada 3.4 peratus pada 2019 dan kedudukan defisit fiskal Malaysia untuk 2020 dijangka antara yang terendah berbanding negara berpenarafan A yang lain.

Tengku Zafrul berkata, melangkah ke hadapan, Malaysia akan menuju ke arah pemulihan pesat pada 2021.

Pengumuman Belanjawan 2021 pada 6 November lalu dijangka akan meneruskan momentum pemulihan yang dicetuskan oleh pelaksanaan pakej rangsangan dalam tahun ini, dengan sasaran pertumbuhan KDNK 6.5 peratus hingga 7.5 peratus tahun depan.

Penarafan kredit Malaysia juga disokong oleh kedudukan aset luar yang kukuh, yang dicerminkan oleh lebihan akaun semasa yang konsisten selama lebih 2 dekad, serta pegangan aset luar oleh institusi kewangan dan syarikat korporat yang tinggi.

"Selain itu, kecairan pasaran Malaysia juga disokong oleh pasaran modal yang mendalam dan pelbagai. Institusi perbankan Malaysia mempunyai daya tahan yang lebih signifikan terhadap risiko berbanding semasa keadaan krisis terdahulu,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan mengambil maklum akan kebimbangan Fitch mengenai situasi politik semasa.

"Namun begitu, perlu dinyatakan bahawa penggubalan perundangan-perundangan penting telah mendapat kelulusan terutamanya bagi pembiayaan Covid-19 serta perundangan berkaitan perlindungan dan sokongan kepada pelbagai keperluan individu dan perniagaan yang terjejas sehingga 2022.

"Tambahan pula, Belanjawan 2021 telah diluluskan di peringkat dasar baru-baru ini dengan mengambil kira keterlibatan kerajaan yang berterusan bersama pelbagai pihak berkepentingan,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!