'Akui terasa hati, tapi harap PN Perak tak pecah'

Ahmad Faizal pada sidang akhbar selepas menghadap sembah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, Ipoh hari ini.
Ahmad Faizal pada sidang akhbar selepas menghadap sembah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui terasa hati dengan gerakan usul undi percaya yang dikemukakan wakil rakyat UMNO kepada beliau dalam Persidangan Dewan Negeri Perak, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mahu kemelut yang melanda itu merenggangkan hubungan dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN) di Perak sehingga menimbulkan perpecahan.

Menurutnya, sehingga hari ini, UMNO masih bersama dalam kerajaan PN, begitu juga di peringkat Pusat hubungan kerjasama yang terjalin masih kukuh.

"Apabila mereka ambil tindakan seperti pagi tadi tanpa berbincang dengan rakan-rakan lain, tentunya kami daripada Bersatu terasa hati.

"Mungkin nanti kita duduk baliklah untuk bersembang, tetapi pada saya kerajaan PN di peringkat Pusat masih kukuh dan saya pun tak minta PN di Perak ini berpecah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadap sembah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: MB Perak hilang sokongan majoriti

[EKSKLUSIF] ADUN UMNO antara 10 wakil rakyat sokong Peja?

Ahmad Faizal akan menghadap Sultan Perak

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai pendirian Pas untuk tidak menyertai usaha pembentukan kerajaan yang baharu di Perak, beliau berkata, ia bukti menunjukkan bahawa usul undi percaya itu tidak menguntungkan sesiapa.

Katanya, keadaan itu hanya menimbulkan masalah baharu terutama terhadap usaha pembentukan kerajaan pada ketika rakyat sudah memberi keyakinan terhadap pentadbiran sedia ada.

"Jika kita ambil keputusan yang hanya mementingkan satu-satu maksud, maka akan menyebabkan reaksi berbeza pihak lain.

"Akhirnya ia tidak mendatangkan keuntungan kepada kita sendiri, macam sekarang inilah, soal tubuh kerajaan, ini masalah yang perlu kita cari jalan selesaikan," katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan parti itu membuat ketetapan untuk tidak menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri Perak yang baharu.

Seramai tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Perak telah menyokong undi percaya terhadap Ahmad Faizal selaras dengan pendirian dibuat oleh Lajnah Politik Pas Pusat.