PTPTN, My-Sutera jalin kerjasama strategik bangunkan modal insan

Wan Saiful (kanan) dan Annas menyempurnakan gimik pelancaran kempen ‘Canggihlah Simpan di SSPN’ secara maya hari ini.
Wan Saiful (kanan) dan Annas menyempurnakan gimik pelancaran kempen ‘Canggihlah Simpan di SSPN’ secara maya hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjalinkan kerjasama strategik bersama pengeluar barangan kelengkapan sekolah jenama Canggih terkemuka di negara ini, My-Sutera Sdn Bhd menerusi pemeteraian satu memorandum persefahaman (MoU) hari ini.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, menerusi kolaboratif itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk mewujudkan dan meningkatkan hubungan kerjasama dalam aspek pembangunan modal insan, tanggungjawab sosial korporat dan pembudayaan simpanan pendidikan.

Menurutnya, antara program yang dirancang termasuk 'Job Matching' melibatkan pencarian Vendor Jahitan dalam kalangan peminjam PTPTN dan pembukaan serta penambahan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Katanya, kerjasama strategik itu turut membabitkan bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN melalui platform 'e-commerce' MySutera, Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan pelbagai inisiatif lain yang akan diusahakan bersama.

"PTPTN melihat kerjasama dengan My-Sutera Sdn Bhd sangat relevan bagi memanfaatkan potensi dan keupayaan kedua-dua pihak, sekali gus memberi pulangan dan kebaikan kepada masyarakat umumnya.

"Apatah lagi My-Sutera Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat yang mempelopori bidang kelengkapan untuk ke sekolah, sememangnya sentiasa dekat di hati masyarakat, sepertimana PTPTN yang menerajui pembiayaan dan simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran MoU antara PTPTN dan My-Sutera Sdn Bhd yang diadakan secara maya di Facebook PTPTNOfficial hari ini.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Dasuki (kanan) dan Laila Satria (kiri) bertukar dokumen MoU antara pihak PTPTN dan My-Sutera Sdn Bhd sambil disaksikan oleh Wan Saiful (dua dari kanan) dan Annas.
Ahmad Dasuki (kanan) dan Laila Satria (kiri) bertukar dokumen MoU antara pihak PTPTN dan My-Sutera Sdn Bhd sambil disaksikan oleh Wan Saiful (dua dari kanan) dan Annas.

Pertukaran MoU itu disempurnakan oleh Ahmad Dasuki dan Pengarah Eksekutif Kumpulan My-Sutera Sdn Bhd, Laila Satria Suhaimi dengan disaksikan Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan dan Pengerusi Kumpulan My-Sutera Sdn Bhd Annas Ahmad.

Majlis itu menyaksikan dua inisiatif pertama hasil kerjasama antara PTPTN dan My-Sutera Sdn Bhd iaitu pelancaran Kempen ‘Canggihlah Simpan di SSPN’ dan penyerahan zakat perniagaan oleh My-Sutera Sdn Bhd kepada PTPTN bagi membantu golongan asnaf.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, kolaborasi tersebut merupakan bukti komitmen dan kesungguhan PTPTN untuk menyumbang kepada masyarakat selain memainkan peranan utamanya dalam menguruskan pembiayaan pendidikan, memungut bayaran balik pinjaman serta menyediakan skim simpanan.

"Tahniah dan syabas kepada kedua-dua pihak atas kejayaan merealisasikan usaha murni ini," katanya.

Dalam pada itu, Annas berkata, untuk membina dan menyuburkan ekosistem dalam perkhidmatan dan perniagaan, ia memerlukan misi yang menjurus, berfokus dan berimpak.

"Gerak kerja yang bersandarkan kebersamaan hasil, kesaksamaan pulangan dan kesepakatan nilai adalah kunci kejayaan perjanjian persefahaman ini.

"Mengusahakan suntikan faham adalah mudah, namun mencetuskan kolaboratif yang sefaham pastinya mendambakan mujahadah," katanya.

Dalam perkembangan sama, Laila Satria pula menjelaskan, perjanjian persefahaman itu adalah hasrat murni kedua-dua pihak yang disatukan berasaskan kerangka perancangan kerja yang kondusif serta kerangka tindakan yang bervisi, beraspirasi dan bersinergi.

Hasil kerjasama itu, Kempen ‘Canggihlah Simpan di SSPN’ dilancarkan bertujuan untuk menggalakkan amalan penabungan dari awal usia anak-anak.

Melalui kempen berkenaan pelanggan yang membuka akaun atau membuat penambahan deposit SSPN dalam tempoh promosi 1 Disember 2020 sehingga 31 Disember 2020 akan berpeluang menerima SSPN Reward dalam bentuk diskaun digital (e-baucer) sehingga 35 peratus.

Diskaun berkenaan boleh ditebus untuk pembelian barangan Canggih secara dalam talian di www.schoolmall.com.my.

Pembukaan akaun atau penambahan deposit SSPN pula boleh dilakukan dengan mudah secara dalam talian di www.lovesspn.com.

Kempen tersebut diharapkan dapat menarik minat ibu bapa untuk menabung dalam SSPN selain mereka juga boleh mendapatkan kelengkapan sekolah yang berkualiti dengan harga lebih murah menerusi diskaun penjimatan yang ditawarkan.

Memandangkan sesi persekolahan yang dijangka bermula bulan depan, PTPTN amat yakin kempen itu akan mendapat sambutan yang menggalakkan oleh masyarakat, sekali gus mampu melonjakkan kutipan deposit SSPN yang disasarkan tahun ini.

Secara keseluruhan, sehingga 31 Oktober 2020, sebanyak 4.75 juta akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM7.02 bilion.

Bagi tempoh Januari 2020 sehingga Oktober 2020, PTPTN berjaya menerima deposit berjumlah RM1.1 bilion melibatkan pencapaian 75.57 peratus daripada sasaran tahun 2020 iaitu RM1.5 bilion.

Pada majlis itu, PTPTN turut menerima sumbangan zakat perniagaan sebanyak RM30,000 daripada My-Sutera Sdn Bhd yang akan diberikan dalam bentuk akaun SSPN-i kepada golongan asnaf.

PTPTN sentiasa mengalu-alukan penglibatan syarikat korporat lain untuk turut sama menyumbang zakat atau sumbangan lain dalam bentuk akaun SSPN bagi membantu insan memerlukan di samping menikmati keistimewaan SSPN dan menggalakkan amalan penabungan.