Dana RM90j: 'Dok tak dok hujan turun', sindir Kadir

A Kadir Jasin
A
A

KUALA LUMPUR – Polemik sumbangan RM90 juta daripada Umno kepada Pas terus dipertikai meskipun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan editor Sarawak Report memilih untuk menyelesaikannya di luar mahkamah.

Wartawan veteran, A Kadir Jasin berkata, jalan terbaik untuk merungkai misteri dana RM90 juta ini hanya melalui siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pencerahan dan penyelesaian mutakhir kepada isu derma RM90 juta ini hanya boleh dicapai jika SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka fail siasatan jika mereka belum berbuat demikian,” katanya menerusi artikel terbaharu di blognya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Semoga jawapan Najib senangkan semua pihak - Pas

ARTIKEL BERKAITAN: Najib akui tak pernah bayar RM90j kepada Abdul Hadi

Mengulas lanjut, Kadir menyifatkan tindakan Pas menarik balik saman itu sebagai satu situasi luar jangka.

“Sekarang musim kemarau di bahagian utara Semenanjung. Kering dan panas tapi sejuk waktu malam.Tapi macam kata orang Kedah, “dok tak dok hujan turun”. Maksudnya tanpa disangka hujan turun.

“Demikianlah kehebohan terbaru mengenai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, “dok tak dok” tarik balik kes saman malunya terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown,” katanya.

Beliau turut menambah, persoalannya lain ialah, apa sudah terjadi atau akan jadi dengan dakwaan rasuah RM90 juta serta duit derma RM2.1 juta daripada ahli dan penyokong Pas itu?

“Apakah duit ini sudah habis dibelanjakan maka Abdul Hadi terpaksa memberihentikan tindakannya atau beliau takut keputusan mahkamah tidak akan memihak kepadanya?

“Mahkamah telah pun memutuskan perbicaraan penuh selama 11 hari dimulakan pada 1 April ini. Nampaknya Abdul Hadi lebih rela kalah bersorak daripada menghadapi kemungkinan kalah perbicaraan," tulisnya lagi.

Menurut Penasihat Media Perdana Menteri itu lagi, sebelum PRU14, keperluan mempertahankan imej Pas adalah amat penting.

Namun kini, apabila PRU sudah berlalu di mana menyaksikan Umno-BN kalah dan Pas tidak menang, maka maruah dan air muka mungkin sudah tidak sepenting dulu lagi kepada parti Islam itu.

“Sebaliknya risiko fakta sebenar mengenai derma RM90 juta itu terdedah semakin tinggi kerana Umno-BN tidak lagi berkuasa justeru itu tidak lagi boleh membantu Pas menyembunyikan hal sebenar.

“Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentulah akan menafikannya sebab beliau tidak mahu kes rasuah ke atasnya ditambah. Bahkan, yang ada ini pun sudah lebih daripada cukup.

“Ada kemungkinan Abdul Hadi membatalkan saman itu kerana hendak mengelak hujah-hujah sensasi dalam saman balas (counter suit) Clare mematahkan hujah beliau. Jadi cuma polis dan SPRM saja boleh rungkaikan polemik ini,” katanya.