Hampir 24 jam padam kebakaran pasar raya

Operasi pemadaman melibatkan kebakaran di sebuah pasar raya di Bahau kelmarin berjaya dipadamkan pada jam 2 petang semalam.
Operasi pemadaman melibatkan kebakaran di sebuah pasar raya di Bahau kelmarin berjaya dipadamkan pada jam 2 petang semalam.
A
A
A

JEMPOL - Pasukan bomba dan penyelamat terpaksa mengambil masa hampir 24 jam untuk memadam kebakaran melibatkan sebuah pasar raya di Bahau susulan masalah pengudaraan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pasar raya tiga tingkat itu kekurangan pengudaraan lalu menyukarkan operasi pemadaman.

"Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 4.38 petang kelmarin tetapi api cuma berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 2 petang semalam.

"Pada awalnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.20 malam, namun kira-kira jam 12.23 tengah malam komander operasi menemui punca kebakaran dari sebuah stor yang menyimpan pakaian. Asap tebal mula memenuhi ruang premis sekitar jam 2 pagi.

"Kami terpaksa menebuk empat lubang di bahagian bumbung bangunan bagi membolehkan asap tebal keluar sebelum operasi pemadaman diteruskan. Keadaan tersebut menyebabkan kemusnahan lebih kurang 50 peratus di tingkat dua dan tiga bangunan. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan selain punca kejadian serta nilai kerugian masih dalam siasatan," kata beliau kepada Sinar Harian.

Sebanyak tujuh buah jentera bomba enam balai bomba dari BBP Bahau, Kuala Pilah, Seri Jempol, Simpang Pertang, Senawang dan Seremban 2 dengan keanggotaan seramai 10 pegawai dan 36 anggota terlibat dalam operasi pemadaman api.

Sementara itu, Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Hamdan Ali bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau merangkap Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong turun padang ke lokasi kejadian petang semalam.

Artikel Berkaitan: