X

Kindly register in order to view this article
!

Haris Fadzillah dan Mohd Effendy
A
A

[DIKEMASKINI] SHAH ALAM - Pengumuman terbaharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhubung kriteria dan butiran kemudahan i-Sinar yang diperluaskan kepada lapan juta ahli yang layak kelmarin dilihat memberi harapan baharu kepada rakyat Malaysia khususnya yang benar-benar terjejas selepas pandemik Covid-19 melanda negara.

Kelonggaran kelayakan khususnya melalui kemudahan i-Sinar kategori satu menetapkan mereka yang layak membuat pengeluaran KWSP adalah termasuk ahli yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja dalam sektor ekonomi gig, yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Bekas pengurus bahagian makanan di sebuah taman tema di Kuantan, Pahang, Haris Fadzillah Hamat, 48, berkata, beliau terjejas sejak April lalu ketika awal pandemik Covid-19 melanda negara apabila syarikat tempatnya bekerja mula membuat pemotongan gaji pekerja disusuli pemberian cuti tanpa gaji dan akhirnya dia kehilangan pekerjaan pada Jun lalu.

Menurutnya, sejak itu beliau terpaksa membuat pelbagai pekerjaan bagi meneruskan kelangsungan hidup dengan menggunakan kepakaran memasak dan membuat kerja-kerja penghantaran makanan termasuk mengambil kerja-kerja melukis.

Katanya, pendapatan diperoleh memang jauh beza dengan pendapatan sewaktu mempunyai pekerjaan tetap dan hanya ‘cukup-cukup’ untuk menampung perbelanjaan harian bersama isteri serta dua anak mereka berusia 11 dan 18 tahun.

“Jadi apabila KWSP umumkan semalam (kelmarin) tentang kriteria pengeluaran i-Sinar, saya layak untuk kategori satu kemudahan itu.

“Berita itu memberi satu kelegaan buat saya sekeluarga walaupun ia hanya untuk jangka pendek. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu menampung perbelanjaan serta meringankan komitmen lain yang saya tanggung,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Pengumuman terbaharu KWSP berhubung kriteria dan butiran kemudahan i-Sinar yang diperluaskan kepada lapan juta ahli yang layak kelmarin dilihat memberi harapan baharu kepada rakyat Malaysia khususnya yang benar-benar terjejas selepas pandemik Covid-19 melanda negara.
Pengumuman terbaharu KWSP berhubung kriteria dan butiran kemudahan i-Sinar yang diperluaskan kepada lapan juta ahli yang layak kelmarin dilihat memberi harapan baharu kepada rakyat Malaysia khususnya yang benar-benar terjejas selepas pandemik Covid-19 melanda negara.

Namun begitu katanya, dia tidak akan berputus asa dan tetap akan berusaha mencari ikhtiar bagi menambah pendapatan.

“Saya baru sahaja membuka perniagaan kafe, Ayan Art Cafe di Kuantan sejak sebulan lalu dengan menggunakan wang simpanan sendiri,” katanya.

Terdahulu, kriteria bagi pengeluaran KWSP i-Sinar kategori satu adalah untuk ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan atau ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.

Malah bagi kategori ini, mereka yang layak, akan mendapat kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP, tiada dokumen sokongan diperlukan dan ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Disember 2020.

Sementara itu, Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, pihaknya menyambut baik langkah atau kelonggaran yang diberikan KWSP bagi pengeluaran menerusi kemudahan i-Sinar khususnya untuk kategori satu.

Menurutnya, MTUC melihat ia sebagai pilihan terbaik yang dibuat untuk pencarum, tambah lagi ia kini diperluaskan sehingga kepada lapan juta ahli yang layak.

“Malah, pendekatan menerusi pengumuman terbaru KWSP ini juga menunjukkan ia jelas untuk membantu dan meringankan beban golongan yang terhimpit khususnya dalam kategori satu itu untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.

“Kita tahu KWSP adalah simpanan untuk hari tua, namun untuk menuju ke hari tua itu mereka terdahulu memerlukan kehidupan yang baik sebelum sampai ke peringkat itu,” katanya.

Mohd Effendy turut memuji pendekatan yang diambil KWSP bagi memudahkan pencarum yang berada dalam kategori satu i-Sinar untuk membuat permohonan pengeluaran.

“Ini satu mekanisme terbaik yang dibuat oleh KWSP kerana ia bertepatan dengan perkembangan teknologi serta mengurangkan karenah birokrasi. Malah kaedah permohonan dalam talian juga lebih sesuai dan mudah pada masa ini kerana kita masih bergelut dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Selain itu katanya, beliau berharap para pencarum yang layak tidak kira menerusi kategori satu atau dua untuk memanfaatkan peluang yang diperoleh ini dengan sebaik mungkin.

“Pihak KWSP sudah membuat kajian mereka dan mencari kaedah terbaik untuk membantu pencarum yang terjejas dan mengalami masalah. Jadi, rancang pengeluaran dan perbelanjaan anda secara berhemah, jangan gunakan untuk perkara yang tidak sepatutnya,” katanya.

Mohd Effendy berkata, MTUC juga berharap jika KWSP dapat menambah baik dua perkara lagi iaitu mempertimbangkan golongan yang mengalami pengurangan pendapatan isi rumah yang mungkin suami atau isteri kehilangan pekerjaan untuk dibantu dan dimasukkan dalam kategori pengeluaran i-Sinar, selain mengkaji semula kelayakan 30 peratus kehilangan pendapatan dalam kategori dua memandangkan kos sara hidup juga meningkat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!