X

Kindly register in order to view this article
!

KWSP akan pertimbang setiap permohonan i-Sinar di bawah kategori kedua

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seharusnya tidak terlalu 'rigid' dengan meletakkan syarat yang ketat buat pencarum yang ingin mengeluarkan simpanan mereka dalam akaun satu melalui program i-Sinar. Gambar kecil: Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias.
A
A

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mempertimbangkan setiap pemohonan kemudahan i-Sinar di bawah kategori kedua, kata Ketua Pegawainya, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias.

Beliau berkata, ahli-ahli yang terjejas dari segi kewangan tidak kira pendapatan kecil atau besar tetapi tidak layak membuat permohonan untuk i-Sinar di bawah kategori pertama, boleh memohon untuk kemudahan itu bawah kategori kedua.

“KWSP sedar situasi individu yang terjejas pendapatannya adalah unik bagi setiap kes dan tidak ada satu penyelesaian yang menyeluruh.

“Untuk kategori kedua, kita menyarankan kepada ahli kita untuk siapkan dokumen yang boleh menunjukkan impak atau kesan terjejas pendapatan mereka dan hantar kepada KWSP pada 11 Januari 2021,” katanya pada program ‘i-Sinar dialog Bersama KWSP’ di Astro Awani, malam ini.

Tunku Alizakri menegaskan bahawa KWSP akan membuat pertimbangan setiap permohonan bagi memastikan pintu pertolongan tidak tertutup kepada sesiapa.

Pada 2 Disember, KWSP mengumumkan bahawa pencarum yang layak membuat permohonan kemudahan i-Sinar terbahagi kepada dua kategori.

Kategori satu adalah pencarum yang bekerja dalam sektor formal, bekerja sendiri, bekerja dalam sektor ekonomi gig, ahli yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau ahli yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Kriteria bagi kategori satu adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan; atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.

Bagi kategori ini, tiada dokumen sokongan diperlukan; kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP dan ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Disember 2020.

Bagi kategori dua pula, KWSP berkata, ia adalah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas Mac 2020, dan pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!