X

Kindly register in order to view this article
!

Mufti gesa hukuman berat ke atas pihak palsukan logo halal

Keratan muka depan Sinar Harian.
A
A

[LAPORAN KHAS] IPOH - Hukuman berat harus dikenakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam memalsukan dokumen dan logo halal bagi produk makanan untuk pasaran di negara ini.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, individu mahupun kumpulan yang bersubahat dalam kegiatan itu juga perlu dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Dalam masa sama, katanya, agensi penguatkuasaan perlu meningkatkan lagi operasi, manakala kesedaran awam mengenai isu itu perlu dipertingkatkan.

“Saya berpandangan perkara ini berlaku berpunca daripada sifat ketidakjujuran dalam mana-mana rantaian proses import dari negara asal hingga ke pasaran kepada orang awam. Barangkali ada isu-isu integriti dalam agensi-agensi berkaitan.

“Dari segi hukum pula, apabila kita mengetahui bahawa daging itu asalnya tidak halal, maka umat Islam haram menjual, membeli dan memakannya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, beliau berkata, isu mengenai makanan halal dan baik atau halalan taiyyiban banyak disentuh dalam al-Quran yang seharusnya menjadi panduan serta rujukan kepada umat Islam.

Malah, katanya, isu makanan tidak boleh lagi dilihat sebagai isu individu tetapi mesti dilihat sebagai satu tuntutan bagi memenuhi keperluan umat Islam yang menjadi majoriti penduduk negara ini.

Pandangan sama turut dikongsikan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid yang menyarankan agar masyarakat Islam lebih berhati-hati dalam pembelian daging sejuk beku.

“Pengguna Islam kena lebih waspada dan pastikan mereka mendapatkan daging serta ayam daripada pembekal yang diiktiraf.

“Rasulullah SAW juga pernah menyatakan bahawa perkara halal dan haram itu jelas, namun di antara keduanya ada perkara yang syubhat (samar-samar),” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berpandangan dihukumkan harus bagi seseorang yang tidak mengetahui tentang status daging dipasarkan.

“Jadi apa yang jelas pada mata saya ialah ketika mana seseorang itu tak tahu tentang mana halal haramnya, maka dihukumkan harus tapi setelah dia mengetahuinya, maka hukumnya jadi haram sebab benda itu jelas adalah haram,” katanya.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman pula berkata, tindakan lebih tegas perlu diambil terhadap pembekal, pemborong dan peniaga yang cuba mengambil kesempatan menjual produk daging diragui status halalnya.

Menurutnya, tindakan itu penting dalam menjaga kepentingan umat Islam di negara ini kerana kemungkinan ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan membawa masuk daging dari negara yang tidak mendapat pengiktirafan halal.

“Kita bimbang, produk daging import ini diedar ke pasaran menggunakan logo lalal palsu dan dibeli umat Islam.

“Justeru, pengguna dalam kalangan umat Islam juga kena lebih berhati-hati memilih produk daging import ini supaya tidak terbeli daging yang diragui status halal,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kartel tukar daging haram jadi halal

Awas, aktiviti seludup masuk daging lembu tidak halal

Maqis tubuh pasukan khas siasat penyeludupan daging sejuk beku


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!