X

Kindly register in order to view this article
!

Skim rasuah pengampunan Presiden AS disiasat

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat kini menyiasat satu skim rasuah bagi mendapatkan pengampunan Presiden negara itu. - Foto AFP
A
A

WASHINGTON - Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) kini menyiasat satu skim rasuah melibatkan kempen sumbangan bagi mendapatkan pengampunan daripada Presiden AS, menurut satu laporan mahkamah semalam.

Skim melobi secara rahsia itu ditumpukan kepada beberapa pegawai kanan Rumah Putih untuk mendapatkan pengampunan Presiden atau penangguhan hukuman untuk seorang individu yang tidak dinamakan.

Ia kini berada dalam siasatan sejak Ogos lalu dan melibatkan sejumlah individu termasuk pelobi dan peguam bela serta banduan lelaki atau wanita yang sedang menjalani hukuman penjara yang berharap campur tangan Presiden dalam kes tersebut.

Dokumen kes itu menunjukkan golongan tersebut telah menghubungi Rumah Putih bagi meminta pengampunan Presiden atau penangguhan hukuman.

Ia menyatakan seorang penyumbang telah membuat tawaran bagi pihak seorang individu yang berusaha mendapatkan pengampunan Presiden.

Dokumen itu bagaimanapun tidak menjelaskan bila kejadian itu berlaku dan tidak merujuk kepada Presiden AS, Donald Trump dan pasukan kempen Republikan.

Bagaimanapun, kes itu difailkan ketika Trump mahu memberikan pengampunan kepada beberapa individu selepas beliau tewas kepada bekas Naib Presiden AS, Joe Biden daripada parti Demokrat pada Pilihan Raya Presiden AS pada 3 November lalu.

Beliau membuat ciapan di Twitter lewat semalam di Twitter bahawa: 'Siasatan pengampunan itu adalah berita palsu.'

Sebelum ini, bilionair hartanah itu telah memberikan pengampunan kepada beberapa sekutu politiknya termasuk seorang perunding kempen, Roger Stone, bekas syerif Arizona, Joe Arpio, aktivis parti Republikan, Dinesh D'Souza dan bekas penasihat keselamatan, Michael Flynn pada minggu lalu.

Sementara itu, akhbar New York Times melaporkan Trump telah membincangkan untuk memberikan pengampunan awal kepada peguam belanya, Rudy Giuliani dan menantunya, Jared Kushner.

Terdapat juga perbincangan dalam kalangan orang awam bahawa Presiden ke-45 AS itu mungkin akan memberikan pengampunan awal kepada dirinya berhubung dengan sebarang jenayah ketika memegang jawatan di Rumah Putih. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!