UiTM Cawangan Pahang adakan 'konvokesyen' secara janji temu

Mohd Ilham (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada graduan yang hadir di UiTM Cawangan Pahang di Jengka hari ini.
Mohd Ilham (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada graduan yang hadir di UiTM Cawangan Pahang di Jengka hari ini.
A
A
A

JENGKA – Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang mengadakan Majlis Penganugerahan Diploma dan Ijazah secara janji temu selama tiga hari bermula semalam bagi menggantikan Majlis Istiadat Konvokesyen yang terpaksa ditangguhkan berikutan penularan Covid-19.

Seramai 270 graduan berpeluang merasai pengalaman seperti majlis konvokesyen apabila majlis itu diadakan di Dewan Indera Segara.

Majlis itu diadakan untuk meraikan pelajar yang telah menamatkan pengajian mereka di peringkat ijazah dan diploma terdiri daripada pelajar UiTM seluruh Malaysia tetapi bermastautin di Pahang dengan membabitkan zon hijau sahaja.

Rektor UiTM Cawangan Pahang, Profesor Ts Dr Mohd Ilham Adenan berkata, UiTM mengambil inisiatif untuk melaksanakan majlis penganugerahan secara janji temu ini untuk meraikan kejayaan pelajar UiTM yang berjaya menamatkan pengajian.

"UiTM mengambil peluang untuk meraikan kejayaan mereka walaupun secara sederhana tetapi akan menjadi memori indah untuk dikenang graduan. Majlis ini tidak hanya tertumpu untuk meraikan graduan, namun apa yang tersirat adalah ia turut meraikan ibu bapa yang pastinya gembira dengan kejayaan anak-anak mereka. Majlis ini dilihat sebagai platform tautan kasih sayang antara keluarga," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pelaksanaan penganugerahan tersebut adalah mengikut prosedur standard operasi (SOP) yang ketat dan dipantau pihak berwajib, sekali gus mematuhi norma baharu ditetapkan.

"Ia juga menjadi model kepada UiTM cawangan lain dalam zon hijau untuk melaksanakan majlis sama nanti," katanya.

Dalam majlis tersebut, graduan berpeluang untuk memakai jubah konvokesyen, merakam gambar kenangan bersama keluarga serta menerima skrol dan transkrip seperti istiadat konvokesyen konvensional.

Artikel Berkaitan:

Majlis Penganugerahan melakar sejarah yang bermula di UiTM Cawangan Pahang itu akan turut diadakan di UiTM Cawangan Terengganu dan Kelantan.