X

Kindly register in order to view this article
!

Arizona, Wisconsin iktiraf kemenangan Biden

Bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menewaskan Presiden Donald Trump dalam pilihan raya Presiden dengan kelebihan sebanyak 10,400 undi di Arizona. - Foto AFP
A
A

WASHINGTON - Arizona dan Wisconsin semalam mengiktiraf kemenangan bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden daripada parti Demokrat dalam pilihan raya Presiden AS selepas pengiraan undi selesai dilakukan di kedua-dua negeri itu.

Pengiktirafan itu mengukuhkan lagi kemenangannya sekali gus mengetepikan Presiden AS, Donald Trump yang masih membuat dakwaan tidak berasas tentang berlakunya penipuan undi dalam pilihan raya tersebut.

"Pilihan raya ini dikendalikan dengan telus, tepat dan adil mengikut undang-undang Arizona dan prosedur pilihan raya walaupun terdapat sejumlah dakwaan tidak berasas (penipuan undi)," kata Setiausaha Negeri Arizona, Katie Hobbs.

Kali terakhir Demokrat memenangi negeri di barat daya AS itu dalam pilihan raya Presiden ialah pada tahun 1996 menerusi Bill Clinton yang merupakan Presiden AS ke-42.

Biden menewaskan Trump dengan kelebihan 10,400 undi di Arizona dengan bilangan yang keluar mengundi adalah tinggi.

Trump menolak untuk mengaku kalah kepada Biden sekali gus melewatkan proses peralihan pentadbiran selama beberapa minggu ekoran beliau membuat dakwaan berlakunya penipuan undi yang tidak berasas sehingga kes tersebut didengar di mahkamah persekutuan AS.

"WOW, rasuah pilihan raya di Arizona," menurut ciapan Trump di laman Twitternya sebelum ini.

Wisconsin yang pernah dimenangi oleh Trump pada pilihan raya Presiden 2016 dengan menewaskan bekas Setiausaha Negara, Hillary Clinton turut mengiktiraf kemenangan Biden.

"Tolong sertai kami dalam mengucapkan terima kasih kepada kerani-kerani kami, pentadbir pilihan raya dan pekerja-pekerja pilihan raya di negeri kami kerana bekerja bertungkus lumus bagi memastikan kita mempunyai pilihan raya yang adil, selamat dan efisien," kata Gebenor Wisconsin, Tony Evers menerusi Twitter.

Biden telah meneruskan proses peralihan pentadbiran Presiden yang baharu walaupun Trump dan pasukan kempennya membuat dakwaan tentang penipuan undi dalam pilihan raya Presiden yang diadakan pada 3 November lalu.

Bakal Presiden AS itu memenangi 306 undi elektoral selepas memenangi undi popular di negeri-negeri AS berbanding Trump sebanyak 232 undi.

Sebanyak 270 undi elektoral diperlukan bagi memenangi pilihan raya Presiden AS.

Biden memenangi undi popular sebanyak 51 peratus manakala Trump pula memperoleh 47 peratus undian dalam pilihan raya itu.

Bagaimanapun, anggota badan pemilih Kolej Elektoral akan membuat pengesahan secara rasmi kemenangan Biden apabila mereka bertemu pada 14 Disember ini.

Biden dijadualkan mengangkat sumpah jawatan Presiden pada 20 Januari tahun depan. - AFP


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!