X

Kindly register in order to view this article
!

MBSA tawar pengurangan kompaun 30 peratus

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan melaksanakan Kempen Pengurangan Kompaun dengan menawarkan potongan sehingga 30 peratus sepanjang Disember ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pelaksanaan kempen ini bertujuan bagi memberi peluang kepada Orang Kena Kompaun (OKK) untuk menyelesaikan tunggakan masing-masing kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Menurutnya, penawaran potongan berkenaan adalah melibatkan beberapa kesalahan di bawah undang-undang kecil (UUK) yang ditetapkan.

"Kempen yang dilaksanakan ini merupakan inisiatif MBSA untuk membantu dan menggalakkan OKK menyelesaikan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas dikenakan terhadap mereka.

"Pengurangan 30 peratus akan diberikan melibatkan kesalahan di bawah UUK Kecil Kedai Gunting Rambut 1983; UUK Taman (MBSA) 2005; UUK Vandalisme (MBSA) 2005; UUK Establisyemen Makanan (MBSA) 2007; UUK Pengendali Makanan (MBSA) 2007; UUK Iklan (MBSA) 2007; UUK Penjaja (MBSA) 2007; Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan UUK Pasar (MBSA) 2007," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrin berkata, kompaun Tempat Letak Kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) juga akan ditawarkan pengurangan sehingga 30 peratus di semua kaunter-kaunter bayaran MBSA.

Beliau berkata, orang ramai boleh membuat pembayaran berkenaan di beberapa lokasi terlibat antaranya Kaunter Utama Wisma MBSA, Pejabat Cawangan MBSA Sungai Buloh, Pejabat Cawangan MBSA Kota Kemuning dan Pejabat Cawangan MBSA Setia Alam.

"Bagi kompaun kesalahan tempat letak kereta, OKK juga boleh menjelaskan bayaran melalui aplikasi Maybank2U, kaunter Bank Muamalat dan kaunter Bank Rakyat.

"Selain itu, saluran bayaran JomPAY juga telah diperkenalkan untuk memudahkan OKK yang melakukan kesalahan yang sama untuk membuat bayaran," katanya.

Justeru, orang ramai disaran supaya mengambil peluang ini untuk menjelaskan tunggakan kompaun masing-masing sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!