5,422 pusat pemindahan disediakan hadapi banjir

Mohd Redzuan. - Foto Bernama
Mohd Redzuan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 5,422 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menampung kapasiti sehingga 1.55 juta orang disediakan sebagai kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana banjir ketika musim tengkujuh, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, setiap satu pusat pemindahan itu boleh menempatkan sekurang-kurangnya 200 mangsa banjir pada satu-satu masa.

Selain itu, katanya petugas di pusat pemindahan juga bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menangani penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir di pusat pemindahan.

"Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan terus bekerjasama rapat dengan setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Negeri dan lain-lain agensi berkaitan melalui sesi libat urus, simulasi bencana, pembinaan kapasiti komuniti dan perbincangan untuk meningkatkan ketahanan semua pihak terhadap bencana," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) yang ingin tahu tahap kesiapsiagaan Nadma dalam menghadapi bencana banjir pada musim tengkujuh kali ini serta pematuhan SOP Covid-19 agar wabak itu tidak menular di PPS pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, 15,000 unit khemah kubikel juga telah dihantar untuk kegunaan mangsa bencana banjir di pusat pemindahan manakala 26,000 unit lagi akan dihantar kemudian secara berperingkat.

“Dalam memastikan penularan wabak terus dapat dikekang semasa monsun timur laut 2020/2021, pihak Nadma sedang menyelaraskan perolehan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, melalui saranan Nadma, syarikat telekomunikasi telah membangunkan sistem hebahan amaran awal bencana kepada rakyat secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta penyebaran sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) yang akan dilaksanakan antara bulan November hingga Mac setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, amaran awal akan diberi kepada penduduk di kawasan yang diramal berlaku banjir bagi membolehkan mereka mengambil tindakan awal untuk berjaga-jaga atau berpindah ke tempat yang lebih selamat.

“Sebaran amaran awal hanya kepada penduduk di lokasi yang diramal berlaku banjir berdasarkan ramalan daripada agensi peneraju iaitu Jabatan Meteorologi serta Jabatan Pengairan dan Saliran melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir,” katanya. - Bernama