X

Kindly register in order to view this article
!

Selangor wujudkan ekosistem ekonomi lestari melalui SME Platform

A
A

SHAH ALAM - Program Smart Selangor yang dilaksanakan untuk menjadikan Selangor sebuah negeri pintar dan berdaya huni di peringkat ASEAN menjelang tahun 2025 kini memasuki tahun keempat perlaksanaannya.

Selangor merupakan negeri pertama dalam negara yang memperkenalkan program itu namun objektif dan hala tuju konsep itu samar pada peringkat permulaan.

Ia antara cabaran awal buat Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) selaku badan induk pelaksana program Smart Selangor untuk menarik kepercayaan dan komitmen daripada pemegang taruh termasuk kerajaan negeri, syarikat swasta serta rakyat.

Konsep Smart Selangor adalah membawa negeri Selangor ke tahap yang lebih baik menerusi program-program pengupayaan berasaskan teknologi digital yang akan digunakan semua pihak.

Ia merangkumi pencapaian ekonomi yang lebih baik ke arah Selangor menjadi negeri pintar dan berdaya huni 'more livable state' seperti Vienna, Finland dan Singapura menjelang tahun 2025.

Sebanyak 60 inisiatif akan dibangunkan dalam program itu menerusi empat domain utama iaitu smart government (kerajaan pintar), smart ekonomi, smart komuniti dan smart digital infrastructure (infrastruktur digital pintar).

Di bawah smart ekonomi, SSDU telah membangunkan SME Platform iaitu sebuah pangkalan data secara dalam talian bagi merancakkan ekonomi buat penggiat Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Ia bertepatan dengan situasi Koronavirus (Covid-19) yang mana perkhidmatan dalam talian menjadi satu keperluan penting, menggantikan urusan yang kebiasaannya dilakukan secara fizikal.

Pecahan sektor ekonomi di Selangor merangkumi 70 peratus sektor perkhidmatan, 29 peratus sektor pembuatan dan satu peratus sektor pertanian.

Ekosistem ekonomi

Pengarah Urusan SSDU, Dr Fahmi Ngah berkata, platform itu adalah pembentukan satu ekosistem ekonomi yang mana menyediakan perkhidmatan bantuan peniaga secara menyeluruh.

Menurutnya, ia termasuk bantuan memulakan perniagaan, medium pemasaran dan pengupayaan mengembangkan perniagaan.

"Kita menumpukan kepada pengusaha IKS kerana 20 peratus daripada satu juta IKS di Malaysia datangnya dari Selangor.

"Sasaran Smart Selangor menjelang tahun 2025 adalah proses pendigitalan ini berlaku kepada 200,000 IKS yang ada di Selangor, " katanya ketika ditemu bual di pejabatnya di sini baru-baru ini.

DR FAHMI
DR FAHMI

Beliau berkata, SSDU turut menyasarkan SME Platform mampu meningkatkan hasil ekonomi negara IKS kepada pencapaian lebih baik.

"Di Switzerland, IKS menyumbang kepada 68 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sementara Malaysia pula sebanyak 30 peratus.

"Jadi kita nampak ada ruang pengembangan IKS boleh dilakukan dan mampu meningkatkan hasil KDNK ke tahap lebih tinggi. Itu objektif dan sasaran program yang dibuat ini," katanya.

Selain itu katanya, ia juga sebagai usaha pengumpulan data secara berpusat selaras dengan hasrat Exco Perumahan dan Kesejahteraan Bandar serta Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail untuk merencanakan bantuan lebih bersasar.

"Ia menunjukkan komitmen kerajaan negeri yang prihatan dan ingin mengetahui perkembangan dan keperluan IKS di Selangor," katanya.

Sasaran

SSDU kini dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan SME Platform untuk menggalakkan lebih ramai peniaga turut serta ke arah pembentukan ekosistem ekonomi yang lebih besar.

Dr Fahmi berkata, buat masa ini seramai 6,000 peniaga didaftarkan di platform itu dan jumlah tersebut disasarkan meningkat kepada 10,000 peniaga menjelang hujung tahun ini.

Katanya, di peringkat pengumpulan data, sasaran pendaftar terbuka kepada semua pengusaha IKS di Lembah Klang termasuk usahawan mikro yang terlibat penjualan makanan, perkhidmatan, pertanian, teknologi dan lain-lain.

SSDU membangunkan SME Platform iaitu sebuah pangkalan data secara dalam talian bagi merancakkan ekonomi buat penggiat IKS.
SSDU membangunkan SME Platform iaitu sebuah pangkalan data secara dalam talian bagi merancakkan ekonomi buat penggiat IKS.

Katanya, pendaftaran perusahaan itu dilakukan bagi membolehkan kerajaan negeri melihat potensi dan keupayaan sektor ekonomi pada masa hadapan.

"Sekarang ini kita tiada maklumat itu secara spesifik jadi melalui pengumpulan data tersebut kerajaan negeri boleh memberikan fokus dan suntikan insentif kepada sektor yang dikenal pasti untuk dikembangkan.

"Sebagai contoh perusahaan penanaman sayuran segar, hari ini sektor pertanian di Selangor hanya menyumbang satu peratus hasil Selangor, jadi nak ditingkatkan ke lima peratus pada tahun 2025 dengan mengembangkan lagi pertanian moden.

"Sasaran akhir pada tahun 2025 itu ialah melahirkan 200,000 perusahaan berdaftar di Selangor dan mengecapi perkhidmatan setaraf antarabangsa," katanya.

Menerusi SME Paltform katanya, ia bukan hanya bantuan secara one-off sebaliknya berterusan yang akan memandu pengusaha bermula dari awal hingga ke tahap maksimum.

Info SME Platform:

1. Pendaftaran SME Platform boleh

dibuat melalui https://www.smartselangor.com.my/services/smartsme/

2. Kelebihan mendaftar SME Platform

- Rangkumkan perkhidmatan mengikut pilihan seperti pemasaran, logistik dan pembiayaan.

- Hadiah digital di bawah SME direktori ruang pemasaran secara atas talian.

- Insentif minimum RM2,000 untuk latihan pendigitalan, dibekalkan website atau keperluan lain.

- Dipandu cara pengembangan perniagaan

- Lesen perniagaan sah.

- Data digunakan untuk pinjaman perbankan, bantuan modal.

- Info terkini maklumat program kerajaan negeri.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!