Serpihan senjata buatan Israel ditemui

Jenazah Fakhrizadeh selamat disemadikan di tanah perkuburan Imamzadeh Saleh di utara ibu negara hari ini. - Foto: AFP
Jenazah Fakhrizadeh selamat disemadikan di tanah perkuburan Imamzadeh Saleh di utara ibu negara hari ini. - Foto: AFP
A
A
A

TEHERAN - Serpihan senjata yang digunakan dalam insiden pembunuhan saintis nuklear terkemuka Iran, Dr Mohsen Fakhrizadeh adalah buatan Tel Aviv.

Press TV hari ini memetik kenyataan sumber siasatan melaporkan pemeriksaan awal mendapati ia mempunyai logo dan spesifikasi industri ketenteraan Israel.

Semalam, Menteri Luar, Mohammad Javad Zarif percaya corak pembunuhan itu jelas menunjukkan ia didalangi oleh rejim Zionis berdasarkan sejarah tindakan sabotaj Tel Aviv terhadap program tenaga nuklear dibangunkan negara tersebut.

Sementara itu, pegawai kanan di Teheran menuding jari menuduh Mujahidin Rakyat Iran (MEK) bersama agensi keselamatan dalaman Israel, Mossad mendalangi pembunuhan bapa program nuklear Iran tersebut di bawah operasi baharu yang disifatkan kompleks kerana menggunakan peralatan elektronik.

Kebanyakan pemerhati turut percaya Israel tidak akan berjaya melaksanakan operasi berbahaya seperti itu tanpa memperoleh maklumat dan sokongan daripada sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS) yang terlibat konflik dengan Teheran selepas ia menarik diri daripada perjanjian nuklear pada 2018.

Dalam perkembangan lain, jenazah Fakhrizadeh yang maut dalam serangan tembakan yang menyasarkan kereta dinaikinya di luar Teheran pada Jumaat lalu selamat disemadikan di tanah perkuburan Imamzadeh Saleh di utara ibu negara hari ini.

Pengebumian beliau yang disiarkan stesen TV tempatan turut dihadiri beberapa pegawai tertinggi termasuk Menteri Pertahanan, Amir Hatami dan Ketua Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Hossein Salami dilakukan pada jam 11.30 pagi (waktu tempatan).

Ia bagaimanapun tidak dibuka kepada umum untuk mengekalkan protokol kesihatan bagi membendung penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, dua saintis nuklear yang terbunuh pada 2010 dan 2011 juga dikebumikan di tanah perkuburan sama. - Agensi