'Usul undi percaya bukan luar biasa'

Mohamad Zahir (kanan) menunjukkan teks sidang akhbar yang dibaca pada sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.
Mohamad Zahir (kanan) menunjukkan teks sidang akhbar yang dibaca pada sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak yang akan dibentangkan sempena Sidang DUN Perak pada 4 hingga 11 Disember ini bukan sesuatu yang luar biasa.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, usul yang dikemukakan memenuhi syarat dan peraturan ditetapkan.

Menurutnya, malah usul undi percaya pernah diterima di Dewan Rakyat malah menjadi amalan di Dewan negara-negara Komanwel.

"Kita memang ada menerima usul persendirian daripada ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim dan kita sudah masukkan ke dalam agenda kerana ia menepati syarat, jadi tak nampak usul perlu ditolak.

"(Usul undi percaya) Ini memang ada. Amalan Dewan negara-negara Komanwel, malah di Westminster sekalipun pernah berlaku vote of confidence. Ini bukan inovasi baharu atau kejanggalan. Memang ada dalam amalan Dewan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang akhbar tersebut ialah Setiausaha DUN, Nazri Abdullah.

Sebelum ini, Mohammad Zahir mengesahkan bahawa usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak tersebut diterima untuk dibahaskan pada Sidang DUN kali ini.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN BN kemuka usul undi percaya terhadap MB Perak

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohammad Zahir menjelaskan bahawa Speaker DUN perlu bersikap berkecuali dengan semua ADUN dan menerima sebarang notis yang mematuhi syarat dan peraturan.

"Setakat ini usul tersebut akan dibahaskan kecuali pada hari tersebut kita berfikiran sebaliknya atau ada permintaan sebaliknya.

"Usul ini tidak akan dibawa jika ADUN yang membawa usul menarik balik usulnya," katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Zahir berkata, Sidang DUN kali ini akan membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 iaitu Bajet Negeri dan Usul Wang Pembangunan 2021 yang akan dibentangkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, tempoh perbahasan Rang Undang-Undang tersebut bagi penyokong kerajaan dan ketua pembangkang diberikan selama 40 minit manakala ADUN-ADUN lain yang terlibat dalam perbahasan diberi masa 20 minit.

Jelasnya, penggulungan bagi semua Exco Kerajaan Perak akan diadakan pada hari Khamis diikuti penggulungan Menteri Besar Perak pada hari terakhir persidangan.