Polis ketatkan kawalan di sempadan Perak-Thailand

 Kawasan sempadan Perak-Thailand sepanjang 149.7 km (dalam bulatan) meliputi kawasan berbukit dan hutan tebal.
Kawasan sempadan Perak-Thailand sepanjang 149.7 km (dalam bulatan) meliputi kawasan berbukit dan hutan tebal.
A
A
A

KAWALAN keselamatan yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sepanjang 149.7 kilometer sempadan Perak-Thailand berada pada tahap tertinggi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang menggugat keselamatan sempadan negara di kawasan Daerah Hulu Perak itu susulan insiden serangan penyeludup terhadap anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Perlis dan Kedah baru-baru ini.

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash

“Setiap anggota sedia maklum terhadap insiden itu dan kini mereka dalam keadaan siap siaga dengan semua petugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) akan dilengkapkan full gear.

“Meskipun pintu masuk kedua-dua negara ditutup sejak Mac lalu berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19), penugasan keselamatan tetap diteruskan melibatkan agensi lain seperti Agensi Kawalan Sempadan (Aksem), Jabatan Kastam dan Imigresen negeri bagi mengekang penyeludupan barang dan pembolosan pendatang asing tanpa izin,” katanya di sini semalam.

Beliau bagaimanapun berkata, sempadan Perak-Thailand bukan lokasi pilihan kumpulan sindiket penyeludupan berikutan faktor muka bumi yang berbukit dan dilitupi hutan tebal.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim (paling hadapan) bersama pegawai dan anggota bertugas di SJR di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Berapit, Pengkalan Hulu.

“Jumlah kes penyeludupan dilaporkan dalam kuantiti kecil dan terkawal, manakala pelakunya adalah bersifat individu atau kegunaan keluarga dan bukan sindiket.

Artikel Berkaitan:

“Begitu juga dengan aktiviti pemburuan haram dan pencari gaharu, kes ini kurang dilaporkan.

“Antara barang yang diseludup adalah barang keperluan harian bersubsidi seperti minyak masak, petrol atau diesel serta dadah dan daun ketum,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, polis akan terus pantau dan tindakan tegas akan diambil sekiranya kegiatan itu dikesan.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan kelengkapan kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah penambahbaikan sistem keselamatan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Berapit, Pengkalan Hulu di sini.

Anggota keselamatan melakukan pemeriksaan ketat di SJR berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu.
Anggota keselamatan melakukan pemeriksaan ketat di SJR berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu.